malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Felda perlu pakar krisis, bukan ahli politik lagi
ADS

ULASAN Penahanan lima pegawai kanan, termasuk seorang bekas pegawai Felda, membuktikan prestasi lembaga tersebut dikuasai oleh budaya yang tidak berintegriti dan telus.

Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam isu penyelewengan projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta.

Bekas pegawai Felda yang bergelar “Datuk” telah disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menandatangani sebuah perjanjian bernilai RM146.25 juta dengan sebuah syarikat penternakan ikan sturgeon di Korea tanpa pengetahuan lembaga pengarah Felda.

Transaksi perjanjian yang tidak sah ini berlaku dengan penubuhan Felda Carviative Sdn Bhd (FCSB) pada Januari 2014.

Malah, syarikat ini tidak mendapat kelulusan daripada lembaga pengarah Felda, bahagian perundangan dan bahagian kewangannya.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati projek itu tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar Pahang tetapi pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea berkenaan seminggu selepas FCSB ditubuhkan.

Kes jenayah salah guna kuasa ini merupakan salah satu faktor Felda berada dalam keadaan terburuk semenjak penubuhannya.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2, tahun 2015 mendedahkan kerugian Felda dalam projek ini. Malah, cadangan kawasan ternakan ikan ini turut dibantah oleh Jabatan Alam Sekitar akibat kadar projek berisiko tinggi dan bakal memusnahkan ekologi alam sekitar.

Penangkapan pegawai ini bukanlah satu permulaan yang baik tatkala Felda bergelut dengan isu ketirisan dana dan pengurusan yang tidak stabil.

 

 

 



Pengerusi baharu Felda, Tan Sri Shahrir Samad (atas, kanan sekali) seawal pelantikannya sendiri mengakui bahawa institusi awam milik peneroka Felda berhadapan dengan masalah ketirisan yang agak membimbangkan.

Maka, saya turut bimbang akan nasib dan cabaran yang terpaksa diterima oleh peneroka yang juga terpaut rugi dalam kes penyelewengan wang rakyat ini.

Ketirisan ini juga menyaksikan lembaga pengarah memutuskan untuk menjual saham Maybank bagi menutup kerugian Felda.

Sejauh manakah penjualan saham ini mampu menstabilkan dana Felda yang dilaburkan dalam projek gajah putih dan tidak mendatangkan hasil buat peneroka?

Tindakan mudah pengerusi baharu Felda ini harus diteliti semula dan penjualan saham atau aset bukanlah satu-satunya talian hayat memacu syarikat itu ke prestasi yang disasarkan.

4 soalan buat pengerusi baru

Walaupun saya secara peribadi meragui kemajuan Felda dengan pelantikan pengerusi baru, saya memohon mendapat beberapa penjelasan Shahrir Samad, iaitu;

  • Mendesak sebuah rangka tindakan untuk tatapan umum dikeluarkan dalam penstrukturan semula bawah Shahrir. Laporan ini perlu dibentangkan oleh menteri pada sidang parlimen kelak supaya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan Felda.
     
  • Felda perlu memecat pihak yang mempunyai salah laku bagi memulihkan ketelusan organisasi daripada pihak yang tiada integriti. Saya masih mempersoalkan kedudukan Tan Sri Isa Samad yang masih berada dalam FGV walhal beliau dilihat gagal dalam mengurus Felda sehingga melibatkan kerugian pada skala besar. Apakah kesinambungan Felda mengekalkan orang politik berpangkat yang gagal?
     
  • Setiap perjanjian, pelaburan dan pembelian aset perlu dikaji semula supaya pelaburan serta pembelian tersebut dapat memberi nilai keuntungan kepada Felda dan peneroka.


 

 

Penenang menjelang PRU

Reformasi Felda secara struktural perlu dilaksanakan segera dengan menekankan integriti dan ketelusan sebagai asas perubahan yang baik buat Felda.

Namun, apa yang pasti, saya masih menitipkan kesangsian ke atas cara lama perdana menteri melantik seorang ahli politik ketika Felda memerlukan seorang pakar dalam merawat krisis ini.

Lantikan Shahrir hanya menjadi penenang kemarahan peneroka yang mahukan perubahan pada pilihan raya umum ke-14.

Justeru, jika beliau tidak proaktif dan berdedikasi memimpin Felda, maka saya mendesak Shahrir meletakkan jawatan pengerusi Felda demi kepentingan peneroka dan masa hadapan Felda.


NURUL IZZAH ANWAR anggota parlimen Lembah Pantai merangkap naib presiden dan pengarah pilihan raya PKR.

Lihat Komen