malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ganti rugi The Edge: KDN dapat kebenaran merayu
ADS

Mahkamah Persekutuan hari ini memberi kebenaran kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Edge Communications Sdn Bhd menuntut ganti rugi atas penggantungan dua penerbitannya selama tiga bulan pada 2015.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan permohonan untuk kebenaran merayu yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha kementerian itu.

Beliau memberi kebenaran untuk merayu berdasarkan tiga persoalan undang-undang berhubung pemberian ganti rugi kepada The Edge untuk penentuan Mahkamah Persekutuan.

Peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman yang mewakili The Edge tidak membantah permohonan itu, melalui Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang mewakili Kementerian Dalam Negeri.

Loke memberitahu mahkamah beliau mahu Mahkamah Persekutuan membuat penentuan tiga daripada empat persoalan yang diajukan. Satu lagi persoalan digugurkan.

Sementara itu, Raja Eileen berkata tiada persoalan mengenai liabiliti, hanya isu berhubung ganti rugi.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi.

KDN menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai 2015 berkaitan laporannya mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Sept 2015, yang membenarkan permohonan The Edge untuk semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi juga memerintahkan untuk penilaian ganti rugi yang dialami The Edge.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan KDN berhubung keputusan Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.

Mahkamah Rayuan tidak mendengar hujahan mengenai kesahihan perintah penggantungan KDN kerana perkara itu menjadi akademik selepas tempoh penggantungan telah luput.

Antara lain persoalan yang dibangkitkan sama ada suatu perintah untuk penilaian ganti rugi kerana melanggar hak perlembagaan boleh dibuat, selepas mendapat perintah certiorari.

- Bernama

Lihat Komen