malaysiakini logo
story-image
ADS

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, hari ini menafikan parti itu mahukan jawatan timbalan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Malah, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang itu menegaskan pihaknya tidak pernah berbincang mengenai perkara berkenaan.

"Kami tidak pernah bercakap tentang jawatan dalam kerajaan," kata Lim dalam sidang medianya di George Town hari ini.

"Marilah kita ingat apabila kita bercakap mengenai bangsa, ia tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah.

"Kami tidak membincangkan tentang jawatan TPM atau tentang apa-apa jawatan dalam kabinet," kata Lim.

Lim berkata demikian bagi mengulas laporan Berita Harian memetik portal Antarapos yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan DAP mahu jawatan timbalan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang itu menang PRU akan datang.

Menurut Antarapos, Dr Mahathir membuat kenyataan itu sebagai reaksi kepada dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa DAP akan menjadi ketua sebenar kerajaan jika BN tumbang nanti.

Dr Mahathir juga mendakwa Najib menggunakan isu itu untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.

Kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, hasrat berkenaan disuarakan sendiri DAP yang mahu jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan berkenaan diserahkan kepada salah seorang pemimpin parti terbabit.

Bagaimanapun, beliau menafikan DAP mahukan jawatan perdana menteri kerana memerlukan undi daripada orang Melayu yang dilihat sukar berbanding mendapatkan undi kaum Cina.

Mengulas lanjut, Lim berkata DAP, konsisten dengan pendiriannya dan menyokong pelantikan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang.

Katanya, berkata DAP hanya akan bertanding dalam 50 kerusi pada pilihan raya depan dan tidak pernah membuat apa-apa tuntutan untuk jawatan TPM.

Bagaimanapun, Lim berkata bekas perdana menteri itu berhak untuk mengutarakan pendapatnya sendiri malah beliau tidak mahu mengulas ketika ditanya apakah bekas pemimpin veteran Umno itu berbohong.

"Saya tidak mengatakan begitu," kata Lim ringkas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen