malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siswa tuntut universiti kemuka bukti BERSIH5 haram
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 1:29 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dikenakan tindakan tatatertib kerana menyertai perhimpunan BERSIH5 meminta universiti mengemukakan bukti yang menunjukkan himpunan itu haram.

Pelajar tahun akhir jurusan Kewangan Islam, Nurul Aqilah Mohamad Zainuzi berkata, berdasarkan pertuduhan yang diterimanya, beliau didapati dituduh menyertai perhimpunan haram.

Sehubungan itu, Nurul Aqilah berkata, UMS perlu menunjukkan bukti bahawa BERSIH 5 diisytiharkan haram oleh mana-mana mahkamah dalam negara.

"Saya pasti pihak UMS akan menggunakan kenyataan ketua polis negara pada 17 November 2016 yang mengatakan BERSIH5 tidak mematuhi Akta Perhimpunan Haram sebagai hujah dalam prosiding ke atas saya.

"Namun suka untuk saya nyatakan bahawa Ketua Polis Negara bukan hakim yang berhak menentukan kesalahan dan hukuman," kata Nurul Aqilah dalam kenyataan medianya.

Nurul Aqilah menerima surat prosiding tatatertib daripada pihak berkuasa Tatatertib UMS.

Selain beliau seorang lagi pelajar, Mukmin Nantang pelajar tahun tiga Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, turut berdepan prosiding sama.

Dalam kenyataan hari ini, Nurul Aqilah mendakwaUMS melabelkan BERSIH5 sebagai perhimpunan haram bagi mewajarkan Pekeliling Khas Naib Canselor yang menjadi asas pertuduhan ke atas mereka.

Justeru katanya, sekiranya tiada bukti yang mengatakan BERSIH5 haram dari mana-mana mahkamah, pekeliling itu tidak relevan untuk digunakan.

"Pihak Berkuasa Tatatertib UMS semestinya faham mengenai konsep 'natural justice' yang menyifatkan sesuatu itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui perbicaraan secara adil di mahkamah.

"Oleh itu melabelkan BERSIH5 sebagai haram tanpa merujuk kepada mana-mana keputusan mahkamah merupakan satu tindakan yang pramatang," katanya lagi.

Lihat Komen