malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
700,000 warga China di JB momokan Mahathir saja
ADS

Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, berkata Tun Dr Mahathir Mohamad hanya memomokkan rakyat di negara ini bahawa terdapat 700,000 warga China mahu mengundi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bekas menteri itu berkata, Dr Mahathir menukar cerita isu berkenaan beberapa kali.

"Bagaimana Dr Mahathir berkata projek Forest City itu akan membawa lebih 700,000 warga China? Kemudian (beliau) berkata mereka yang dibawa ke Malaysia itu untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang. Kemudian dia cerita lain.

"Tetapi pada asasnya, dia hanya dimomokkan bahawa 700,000 warga China akan digunakan kerajaan BN yang jahat ini untuk mengundi dalam PRU14,” katanya secara menyindir pada sidang media di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa warga China berkenaan mungkin akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada PRU akan datang.

Dakwaan itu kemudian dibidas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam temu bual baginda dengan akhbar The Star.

Ekoran teguran itu Dr Mahathir menulis surat bagi menjawab kenyataan berkenaan.

Melalui surat yang disiarkan hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak pasti sama ada kenyataan dibuat Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam benar-benar mencabarnya atau ia sekadar tafsiran akhbar.

Namun Dr Mahathir berkata, beliau rela digelar penderhaka jika kenyataannya mengenai pembangunan di Johor dianggap begitu.

Mengulas lanjut Shahrir berkata apa yang penting adalah kerajaan menumpukan kepada masalah rakyat menjelang PRU14.

Pengerusi Felda itu turut gembira apabila Dr Mahathir berkata akan meneruskan pemberian BR1M jika pembangkang menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.

"Saya gembira BR1M diterima oleh Dr Mahathir yang pada mulanya berkata BR1M itu rasuah dan dedak. Jelas yang Dr Mahathir ini sering buat kenyataan U-turn," katanya.

Lihat Komen