malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pembelian EHP untungkan Felda, kata firma antarabangsa
ADS

Langkah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) membeli 37 peratus ekuiti dalam firma Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) dilihat bakal menguntungkan FELDA dari segi perolehan
hasil tanaman sawit yang tinggi disumbangkan oleh EHP.

Ini berikutan profil tanaman sawit EHP dalam usia matang bagi pengeluaran hasil EHP, sekaligus membolehkannya menjana keuntungan besar pada suku keempat 2016 iaitu peningkatan sebanyak 291 peratus kepada Rp504 bilion (100 rupiah=RM0.03342), demikian menurut laporan analisis bersama dua firma antarabangsa Daiwa Securities Group Inc dan PT Bahana Securities yang dipetik portal MyNation News Malaysia, hari ini.

"Ia di sebalik pengukuhan harga minyak sawit mentah (MSM) dan peningkatan pengeluaran (44 peratus pada suku keempat) berikutan pemulihan daripada kesan El Nino dan kematangan hasil tanaman," kata laporan yang dipetik oleh portal tersebut.

Daiwa Securities adalah kumpulan khidmat pembrokeran dan kewangan terbesar di Jepun dengan aset hampir US$200 bilion pada 2015 manakala Bahana Securities merupakan bank pelaburan di Indonesia yang juga syarikat peneraju analisis sekuriti di negara itu.

Mengikut laporan analisis yang dikeluarkan kepada EHP, ladang kelapa
sawit EHP kini memasuki fasa pengeluaran utama yang mana pokok-pokok sawit berkenaan berusia di antara lapan hingga 18 tahun.

Daiwa Securities dan Bahana Securities juga mengunjurkan EHP akan
menghasilkan sejumlah 13.2 tan/hektar tandan buah segar pada tahun ini iaitu meningkat sebanyak 17 peratus bagi tahun ke tahun berbanding 11.3 tan/hektar pada 2016.

EHP juga dijangka menghasilkan sebanyak 421,000 tan MSM, melonjak 44 peratus bagi tahun ke tahun berbanding 292,000 tan pada tahun 2016.

"Ini sewajarnya ditafsirkan sebagai unjuran pendapatan bersih yang kukuh sebanyak 420 bilion rupiah bagi 2017 berbanding kerugian bersih 48 bilion rupiah pada tahun sebelumnya," kata laporan itu.

Malah, dua firma itu turut menyarankan pembelian EHP pada harga 630 rupiah sesaham bagi tempoh 12 bulan akan datang iaitu lebih tinggi daripada 580 rupiah sesaham yang dibayar oleh FELDA.

FELDA menerusi cabang pelaburannya, FIC Properties Sdn Bhd melabur
sebanyak US$505.4 juta untuk membeli 37 peratus pegangan dalam EHP yang juga antara syarikat perladangan terbesar Indonesia, daripada Rajawali Group. -Bernama

Lihat Komen