malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Malaysia tak akan jadi Sri Lanka pajak tanah pada China'
Diterbitkan:  Jan 13, 2017 3:45 PM
Dikemaskini: 7:54 AM
ADS

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani menafikan Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka yang terpaksa memajakkan hartanahnya untuk berhutang kepada China.

"Itu sri lanka, ini Malaysia," katanya ketika ditemui di satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang aktivis sosio ekonomi, Azlan Awang yang memberi amaran mengenai risiko Malaysia menghadapi masalah sama seperti Sri Lanka kerana berhutang kepada China.

Azlan yang juga timbalan pengerusi Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Bantah TPPA) berkata Malaysia perlu menanggung akibat jika projek mega berkaitan China gagal.

Beliau merujuk rusuhan berhampiran bandar pelabuhan Hambantota di selatan Sri Lanka, baru-baru ini kerana membantah perjanjian yang menyebabkan pelabuhan terbabit menjadi jajahan China.

Menerusi perjanjian, pelabuhan itu akan dipajak selama 99 tahun kepada sebuah syarikat, di mana China akan mempunyai 80 peratus pegangan.

“Bagi Malaysia, apa penaltinya jika kita gagal membayar hutang besar kita?” soal Azlan.

Beliau mendakwa pelaburan serta pinjaman “sembarangan dan melulu” Putrajaya akan menyebabkan “timbunan besar” hutang.

Menyangkal dakwaan itu, Johari berkata Malaysia hanya akan berurusan dengan syarikat korporat terkemuka dari China.

"Mana-mana syarikat yang nak berdagang dengan kita, dia mesti kena ada reputasi," katanya.

November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beliau berjaya mendapatkan RM143.6 bilion pelaburan langsung asing (FDI) semasa lawatan ke China.

China akan membiayai dan membina Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Pembangkang menentang perjanjian dengan China kerana bimbang Malaysia terperangkap dalam percaturan politik kuasa besar dunia itu di Laut China Selatan.

 

Lihat Komen