Hukum membenarkan isteri meninggalkan rumah yang didiami bersama suami sekiranya merasakan diri berada dalam bahaya tidak perlu difatwakan, kata bekas ketua hakim Mahkamah Syarie Terengganu Datuk Ismail Yahya.
Menurut Ismail, perkara tersebut tidak perlu difatwakan memandangkan ia telah pun berada dalam kitab fekah.
"Saya berpendapat tidak perlu dikeluarkan fatwa kerana kerangka hukum isu keganasan dalam rumah tangga telah pun ada dalam kitab fiqh (fekah).
"Masalahnya, (ia) tidak didedahkan," katanya kepada Malaysiakini.
Selasa lalu, Perlis mengeluarkan fatwa yang membenarkan seseorang isteri untuk meninggalkan rumah yang didiami bersama suami sekiranya merasakan dirinya berada dalam dalam bahaya.
Menurut Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tujuan fatwa berkenaan dibuat untuk mengelakkan kezaliman berlaku terhadap wanita dan isteri.
Selain itu, ketika diminta mengulas lanjut, Ismail berkata lagi, dalam kitab fekah ada dinyatakan tentang nusyuz (tidak taat pada suami) serta pengecualiannya.
Jelasnya, antara pengecualian yang dinyatakan termasuk seseorang isteri boleh keluar daripada rumah tanpa izin suami.
"Dalam kitab fekah, dalam soal isteri nusyuz ada dinyatakan antaranya keluar rumah perkahwinan tanpa izin suami.
"Dalam pada itu, ada diberi pengecualian-pengecualian. Antara pengecualian itu termasuklah boleh keluar rumah perkahwinan tanpa izin suami demi menyelamatkan nyawa (isteri).
"Maknanya, dalam keadaan isteri keluar rumah tanpa izin suami untuk selamatkan nyawa si isteri, adalah diwajibkan," katanya lagi.
Sementara itu, aktivis hak asasi manusia yang memperjuangkan hak-hak wanita, Maria Chin Abdullah pula berpendapat, fatwa tersebut tidak perlu dikeluarkan kerana mana-mana isteri yang menghadapi masalah rumah tangga sewajarnya meninggalkan rumah.
Malah, Maria yang juga pengerusi BERSIH memberitahu, berdasarkan akta keganasan rumah tangga, terdapat perintah interim yang membolehkan suami yang bertindak ganas meninggalkan rumah dan bukan isteri.
"Saya rasa, berdasarkan akal, wanita yang telah dipukul sudah tentu tidak perlu beritahu suaminya untuk keluar rumah.
"Kita juga perlu sesuaikan keadaan dengan akta keganasan rumah tangga. Fatwa bukan undang-undang. Dan kenapa kita mempunyai perintah interim ialah supaya jika berlaku keganasan, suami yang perlu tinggalkan rumah, isteri perlu kekal (berada di rumah).
"Suami yang perlu meninggalkan rumah kerana suami yang telah bertindak ganas pada mulanya. Jika perempuan perlu keluar daripada rumah, ke mana mereka sepatutnya pergi? Jika suami tak nak tinggalkan rumah, polis patut bantu untuk keluarkan dia dari rumah untuk melindungi wanita," katanya.
Fatwa membawa maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), maksud fatwa ialah pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenainya atau berhubung dengan hukum syarak.