malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan main golf dengan pihak berkepentingan, kata KSN
ADS

Penjawat awam tidak dihalang untuk bermain golf atau menyertai aktiviti sukan seperti permotoran, namun ia perlu dilakukan sebagai hobi tanpa melibatkan pihak berkepentingan seperti kontraktor, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Tidak dinafikan ramai (penjawat awam) bermain golf tetapi (mereka) tidak terlibat dengan syarikat atau pihak berkepentingan. Mereka bermain antara penjawat awam, tidak melibatkan rasuah atau 'betting' (pertaruhan)," katanya.

Beliau berkata apa jua sukan dan aktiviti yang mungkin melibatkan kerjasama atau komplot bersama pihak-pihak berkepentingan adalah tidak dibenarkan langsung.

"Kalau ada kontrator yang ingin belanja atau turut serta, jangan terlibat
sama ada permainan golf atau perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Tanpa mendedahkan butiran, Ali berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pernah mengambil tindakan terhadap beberapa pegawai tinggi satu jabatan yang terlibat dalam permainan golf di luar negara.

Ali dalam pada itu menegaskan walaupun terdapat publisiti berkaitan kes
rasuah melibatkan penjawat awam, ia tidak bererti semua penjawat awam terlibat dalam rasuah.

"Majoriti atau 99 peratus adalah berintegriti tinggi," katanya sambil
menambah kini terdapat 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Beliau turut menyokong langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah di perkhidmatan awam serta berharap SPRM dapat menyelesaikan kes berkaitan penjawat awam secepat mungkin.

"Kita dalam perkhidmatan awam benci rasuah. Integriti diutamakan. Saya dan semua ketua setiausaha dan penjawat awam setuju dan mendokong prinsip integriti dalam perkhidmatan awam," katanya.

Mengenai seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar 'Datuk' yang ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM, Ali berkata pegawai berkenaan kini digantung tugas dan akan ditempatkan ke kumpulan jawatan tidak berportfolio

Ketika menghadiri majlis penganugerahan surat kenaikan pangkat pegawai pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana selepas sidang media itu, Ali menegaskan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih menaruh keyakinan terhadap para penjawat awam dalam menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab.

Beliau berkata laporan mengenai penjawat awam yang disiasat SPRM kerana menyalahgunakan kuasa dan terlibat penyelewengan telah mencalarkan imej perkhidmatan awam.

"Janganlah biar nila setitik merosakkan susu sebelanga. Kita seharusnya
membuktikan kepada rakyat bahawa sektor perkhidmatan awam masih berintegriti tinggi,” katanya.

Beliau menyaran penjawat awam terus meningkatkan produktiviti dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selain memastikan dasar kerajaan, projek dan program yang dilaksanakan dengan sebaik mungkin. -Bernama

Lihat Komen