malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aktivis UKM tak dapat hadiri rayuan kerana peperiksaan
ADS

Aktivis pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Asheeq Ali tidak akan dapat menghadiri rayuan terakhir tindakan tatatertib terhadapnya pada 11 Januari kerana perlu menduduki peperiksaan.

Jika terlepas rayuan itu, beliau akan digantung semester depan yang akan bermula pada 13 Februari.

Asheeq merayu penggantungannya selama satu semester kerana penglibatannya dalam perhimpunan Tangkap MO1 Ogos lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata universiti itu akan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti jika pendengaran itu diteruskan tanpa kehadirannya.

"Di bawah seksyen 16 (5) AUKU, universiti sepatutnya mendengar rayuan saya. Bagaimana mereka lakukannya jika saya tiada di sana?" Soalnya ketika dihubungi.

Pelajar itu sebelum ini memohon injunksi mahkamah dalam usaha menghentikan perbicaraan UKM.

Beliau juga berkata keputusan universiti itu menggantungnya kerana penglibatan dalam perhimpunan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan untuk berhimpun secara aman.

Himpunan TangkapMO1 dianjurkan selepas Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan tuntutan mahkamah untuk merampas aset lebih AS$ 1 bilion, yang didakwa disalurkan daripada 1MDB.

DOJ berkata seorang pegawai Malaysia, yang disebut sebagai "Malaysian Official 1" menerima AS$ 731 juta dana 1MDB, tetapi tidak menamakan pegawai itu.

Menteri kabinet Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pegawai itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi namanya tidak disiarkan kerana beliau bukan subjek tuntutan mahkamah.

Najib menafikan sebarang salah laku dan telah dibersihkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Selain Asheeq, tiga pelajar Universiti Malaya juga telah digantung oleh universiti itu kerana peranan mereka dalam perhimpunan Tangkap MO1.

Pelajar-pelajar UM berkenaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan universiti itu pada masa depan.

Lihat Komen