malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Tiba-tiba gambar dan video sekumpulan perempuan muda bergambar di atas papan tanda raksasa Ipoh menular di media sosial.

Semalam dan hari ni pula kecoh tentang dua orang pemuda memanjat puncak kren serta video pendakian solo tanpa alat bantuan ke puncak Batu Caves.

Apakah makna semua ini? Anak muda mula semakin berani atau apa?

Baik, ketepikan dahulu soal peraturan dan undang-undang, kerana bukan itu tujuan artikel ini ditulis.

Mereka yang secara rambang membuat kesimpulan bahawa anak-anak muda telah berani dan menunggang harap akan berlakunya perubahan pada landskap politik, jelas naif mentafsir apa yang berlaku.

Hakikatnya bukan hari ini sahaja anak-anak muda Malaysia melakukan 'kerja-kerja gila' seperti itu. Tiga kes di atas menjadi buah mulut kerana ia unik dan tular di media sosial.

Sebelum ini pun berlaku banyak aksi luar biasa dan berbahaya. Cuma bezanya ia tidak dirakam dan sebahagiannya diterima sebagai sebahagian daripada budaya.

Sebutkan apa sahaja. Berbasikal menuruni curam, mendaki batuan dan cenuram maut, 'terbang' bersama motorsikal, memecut kereta seperti pemandu Formula 1 - semuanya dicuba dengan gaya dan aksi berbeza.

Tukar karakter sendiri

Ia tidak termasuk lagi pelbagai eksperimen saban tahun mencipta mercun buatan sendiri. Bahkan meriam buluh yang menjadi tradisi kemeriahan Syawal itu pun telah diterima sebagai sebahagian budaya walau risiko yang ditanggung bukan kecil.

Nah, jika aksi-aksi berani ini telah mendarah daging dalam hidup anak muda Malaysia, mengapa masih takut dan malu mengubah hala tuju negara? Jika nyawa sanggup diperjudikan, apa yang susah sangat untuk membuat keputusan politik?

Jawapannya, anak-anak muda yang asalnya berani ini pada akhirnya akan berkeluarga dan larut dalam sistem yang 'memandomkan' keberanian mereka.

Mereka bersebati dalam sistem yang terpaksa mereka pilih dan akhirnya menukar karakter asal masing-masing seolah-olah menjadi ayam daging yang menunggu untuk disembelih.

Apakah bermasalah jika anak-anak muda ini berkeluarga? Atau berdosa besarkah jika mereka meningkat dewasa? Tidak! Bahkan itu kehidupan normal.

Titik runtuhnya keberanian berlaku apabila mereka memilih untuk hidup seperti yang diingini pemerintah - selesa berhutang.

Jerutan hutang menjadikan anak-anak muda ini takut kehilangan kerja, ingin selesa kerja bergaji tetap agar saban bulan tidak terlepas membayar hutang, ditambah kesesakan hidup dan bebanan menampung keperluan keluarga, langsung menghilangkan memori nekad dan kegilaan waktu muda.

Perlahan-lahan anak-anak muda ini membunuh citra kepemudaan tanpa perlu pemerintah meletakkan pistol pada kepala mereka.

Ribuan anak muda yang dahulunya berdarah panas akhirnya hanya mampu memenuhkan senarai panjang pembayar hutang. Sindrom takut dengan "kalau" dibawa selama-lamanya sampai mati.

Kalau apa-apa berlaku, hutang tak mampu bayar, maka hidup akan susah. Kalau tidak berhutang, tidak mampu membeli rumah dan memiliki kereta. Kalau itu dan kalau ini. Kalau, kalau, kalau dan kalau..

Sampai bila kitaran ini akan berakhir? Entah, tiada jawapan pasti. Hanya apabila satu generasi anak muda boleh bersolidariti untuk hidup seadanya dan tidak berhutang - atau setidak-tidaknya berhutang pada tahap paling minimum - maka bolehlah kita mula berbincang langkah seterusnya.

Selagi semuanya bertaraf hamba hutang, mahu menulis kebenaran di Facebook dan Twitter pun sudah takut-takut. Bentuklah kembali budaya masa depan yang betul. Hutang itu musuh, bukan kawan. Bebaskan diri untuk bebaskan negara.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lihat Komen