malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Kelantan meningkat, T'ganu berkurang
Diterbitkan:  Jan 1, 2017 9:25 PM
Dikemaskini: 1:32 PM
ADS

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat semula kepada 1,213 orang daripada 329 keluarga setakat pukul 8 malam ini berbanding 944 orang daripada 263 keluarga pada 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata setakat ini terdapat 511 mangsa daripada 135 keluarga dari Kuala Krai, 348 mangsa (94 keluarga) di Jeli, 254 mangsa (76 keluarga) di Tanah Merah, 57 mangsa (13 keluarga) di Machang dan 43 mangsa (11 keluarga) di Pasir Mas.

"Kesemua mangsa ditempatkan di 26 pusat pemindahan banjir di lima jajahan itu," katanya dilapor Bernama.

Beliau berkata jumlah itu dijangka meningkat lewat malam ini terutama di Pasir Mas dan Tumpat selepas air sungai dari hulu sampai ke jajahan berkenaan ketika ini.

Sementara itu Bernama melaporkan banjir di Terengganu semakin pulih petang ini apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan berkurangan kepada 2,679 orang setakat pukul 6 petang ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Rusmi Mahmood berkata kesemua lima pusat pemindahan banjir di daerah Besut juga sudah ditutup secara berperingkat sehingga pukul 3 petang tadi.

"Ini bermakna hanya 35 pusat pemindahan sahaja masih beroperasi di lima daerah negeri ini susulan cuaca yang agak baik sepanjang hari ini.

"Daerah paling teruk terjejas, Hulu Terengganu juga merekodkan pengurangan mangsa banjir iaitu 1,633 mangsa daripada 607 keluarga yang berada di 15 pusat pemindahan di daerah itu.

"Ini diikuti daerah Marang (576 mangsa daripada 155 keluarga), Kemaman (360 mangsa daripada 89 keluarga), Dungun (87 mangsa daripada 20 keluarga) dan Setiu (23 mangsa daripada enam keluarga)," katanya.

Lihat Komen