malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim perlu henti pura-pura tanya soalan, kata Salleh
Diterbitkan:  Dec 25, 2016 11:37 AM
Dikemaskini: 3:45 AM
ADS

Penasihat DAP Lim Kit Siang perlu berhenti bertanya soalan-soalan yang beliau sendiri sudah tahu jawapannya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Dalam satu kenyataan, Salleh berkata Lim setakat ini mengajukan 35 soalan kepadanya, yang katanya merupakan kenyaaan yang sudah diketahuinya.

"Kit Siang perlu henti permainan mengemukakan soalan yang dia sudah tahu jawapannya. Dan berhenti berpura-pura bertanya soalan apabila dia sebenarnya membuat kenyataan atau dakwaan tersebut.

"Tambahan pula, Kit Siang perlu belajar untuk menerima pandangan yang berbeza," kata Salleh.

Salleh juga menegaskan bahawa Lim hanya berpura-pura bertanya soalan untuk mengelak daripada bertangggungjawab terhadap dakwaan palsu atau mengelirukan.

"Apapun, banyak 'soalan' yang ditimbulkan Kit Siang telah pun dijawab ahli-ahli kabinet. Kit Siang sebenarnya sedar tentang perkara ini tetapi berpura-pura dia tidak tahu," kata Salleh dalam catatan di blognya.

Selasa lalu, Lim mengajukan 15 soalan kepada Salleh mengenai dakwaan skandal dan kegagalan kerajaan, termasuk 1MDB dan rasuah dalam Jabatan Air Sabah.

Ia selepas menteri itu mempersoalkan kabinet bayangan pembangkang dan meminta penjelasan parti itu apa yang akan dilakukan jika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menjadi perdana menteri.

Lim semalam turut mengemukakan kira- kira 20 soalan lagi kepada Salleh.

Mengulas lanjut, Salleh menyifatkan soalan Lim sebagai pembaziran masa dan direka untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu yang lebih penting seperti perdana menteri pilihan Pakatan Harapan.

"Kit Siang, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad, PKR dan PAS tidak dilihat bersatu mengenai perkara ini.

"Adakah Kit Siang sedang cuba alihkan perhatian kita? Dan soalan saya adalah satu soalan yang tulen, bukan soalan yang pura-pura," katanya.

 

Lihat Komen