malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Insiden Pagoh, Genting: DAP mahu penyelesaian segera
Diterbitkan:  Dec 24, 2016 2:59 PM
Dikemaskini: 7:01 AM
ADS

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menggesa agar Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar segera merangka solusi tuntas bagi memastikan insiden kemalangan melibatkan bas awam tidak berulang lagi.

"Isu-isu seperti keselamatan, perlesenan, penggajian yang bersesuaian dan kebajikan pemandu adalah antara aspek yang perlu diberi perhatian dan menuntut keazaman politik yang tinggi untuk memastikan penambah baikan serta pembaharuan dapat direalisasikan," katanya beliau dalam kenyataan.

Sambil menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa nahas kemalangan bas di Pagoh yang mengorbankan 14 penumpang dan 16 lain mengalami kecederaan, katanya, DAP Johor turut mendoakan keselamatan keatas mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan.

"Saya amat sedih dan terkilan mendengar berita kemalangan ini. Sejak dahulu lagi, saya telah mengangkat isu melibatkan keselamatan jalan raya samada di dalam mahupun luar Parlimen.

"Selepas nahas kemalangan jalan raya melibatkan bas di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013, saya secara konsisten telah mendesak pihak kerajaan khasnya menteri pengangkutan agar ditubuhkan panel penasihat bebas supaya kemalangan yang sama tidak berulang lagi.

"Insiden di Genting itu merupakan titik paling hitam di Malaysia melibatkan kemalangan bas apabila meragut 37 nyawa," tambah beliau yang juga ahli Parlimen Kluang.

Pagi ini, Bernama melaporkan, sebuah bas ekspres terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu mangsa yang maut terdiri daripada enam lelaki termasuk pemandu dan tujuh wanita serta seorang kanak-kanak perempuan.

"Kebanyakan mangsa yang meninggal dunia dipercayai berada di bahagian hadapan bas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.

Setakat ini, nama dan dan warganegara mangsa yang maut masih belum diketahui.

Azman berkata mangsa yang cedera pula terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan, enam warga Singapura (lima lelaki dan seorang wanita), dua lelaki warga Myanmar dan seorang perempuan yang tidak dikenal pasti identitinya.

Kesemua mangsa yang terkorban dan cedera dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, katanya.

Hasil siasatan awal mendapati bas itu dipercayai dipandu laju sebelum terjunam ke dalam cerun dan merempuh benteng konkrit laluan penduduk Kampung Jayo di bawah lebuh raya tersebut.

Lihat Komen