malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP lancar tabung bantu proses saman pelajar UKM
ADS

Pemuda DAP Selangor hari ini melancarkan kempen derma untuk membantu aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi yang mahu mencabar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mahkamah kerana menggantungnya.

Pada sidang media di ibu pejabat DAP hari ini, Ketua Pemuda DAP Selangor Teh Hoong Kiat menggesa setiap orang supaya menderma RM10 untuk membantu membiayai kos guaman Asheeq.

"Kami ingin menegaskan bahawa hak untuk berhimpun bagi setiap warga negara termasuk pelajar universiti, adalah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan," kata Teh.

"Kita tidak harus membiarkan Asheeq bertarung seorang diri," katanya.

Kempen derma yang dinamakan "Solidariti untuk Asheeq Ali’ itu bermula hari ini sehingga 24 Januari, 2017.

Sasaran awal kempen derma adalah RM5,000, bagi membiayai saman mahkamah ke atas Arsheeq yang sebelum ini berdepan dengan tindakan tatatertib.

Teh berkata, sasaran dana mungkin ditingkatkan dari semasa ke semasa, bergantung kepada proses rayuan berikutannya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan untuk Asheeq melalui akaun Public Bank Pemuda DAP Selangor (nombor akaun: 3162088409). Mereka juga boleh menghubungi 019-2336469 untuk maklumat lanjut.

Turut hadir pada sidang media hari ini ialah Asheeq, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming, ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin dan Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti DAP, Leong Yu Sheng.

Pada 15 November lalu, Asheeq memberitahu dia digantung pengajian selama satu semester oleh lembaga disiplin UKM kerana terlibat dalam himpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos.

Bagaimanapun penuntut tahun ketiga jurusan undang-undang itu mendakwa dia tidak pernah di mahkamah berhubung sebarang kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada 15 Disember Universiti Malaya juga mengambil tindakan ke atas empat siswa mereka kerana terlibat dalam himpunan sama.

Tiga daripada mereka digantung pengajian satu semester, diberi amaran dan didenda RM400, manakala seorang lagi hanya didenda mengikut jumlah sama.

Mereka ialah Anis Syafiqah Mohd Yusof, Mohd Luqman Hakim Fazli dan Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, serta Suhail Wan Azhar.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen