malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Salleh: Apa jadi jika Anwar tak diampunkan
Diterbitkan:  Dec 17, 2016 10:11 PM
Dikemaskini: 2:27 PM
ADS

Pembangkang boleh memikirkan mengenai jawatan perdana menteri sementara sambil menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan tetapi perlu memberikan penjelasan apa yang akan berlaku sekiranya Ketua Umum PKR itu tidak mendapat pengampunan diraja.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak membangkitkan perkara itu selepas berkali-kali mengkritik pembangkang kerana menjanjikan terlalu banyak ketidakpastian.

"Adakah Anwar setuju untuk memohon pengampunan atau masih berkeras bahawa beliau tidak akan memohon kerana ia bermaksud pengakuan bersalah?

"Adakah perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara akan terus memegang jawatan itu jika Anwar gagal untuk diampunkan dan dibebaskan," katanya dalam satu catatan blog.

Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini mengesahkan pembangkang akan mengadakan mesyuarat khas untuk membuat keputusan mengenai calon perdana menteri yang "komited kepada agenda reformasi".

Pemimpin DAP Lim Kit Siang dalam satu majlis makan malam semalam juga mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik perdana menteri sementara dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri sementara.

Salleh berkata cadangan Lim seolah-olah isu itu telah "diselesaikan" tetapi masih perlu penjelasan mengenai rancangan pembangkang jika Anwar tidak mendapat pengampunan.

Sekiranya Anwar dibebaskan awal pada Jun 2018, beliau masih tidak dapat bertanding pilihan raya selama lima tahun melainkan jika mendapat pengampunan.

Jika tidak, Anwar tidak boleh mengambil alih kuasa sehingga selepas pertengahan 2023.

"Adakah perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara akan terus memegang jawatan itu jika Anwar gagal mendapat pengampunan dan dibebaskan," kata Salleh.

Salleh juga mempersoalkan jika cadangan Lim dipersetujui komponen lain dalam HARAPAN dan BERSATU.

Beliau berkata Lim juga perlu menjelaskan jika DAP mahu jawatan perdana menteri sekiranya calonnya berketurunan Melayu menang kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Tempoh untuk mengadakan pilihan raya adalah sehingga pertengahan 2018.

Lihat Komen