malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jika tak nak pembangkang, PAS kena pilih Umno'
ADS

Mengikut sifir politik, jika PAS dan Umno mahu kekal selamat mengharungi pilihan raya umum akan datang, kedua-dua parti perlu merangka strategi yang betul untuk memanfaatkan keadaan semasa.

Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata pertembungan tiga penjuru yang melibatkan Umno, PAS dan pembangkang lain secara umumnya akan merugikan kedua-dua parti.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mahfuz berkata PAS tidak ada pilihan selain bekerjasama dengan pembangkang lain, atau Umno.

Namun kemungkinan yang dihadapi PAS jika menolak kerjasama dengan pembangkang ialah, parti itu mungkin kehilangan undi daripada bekas penyokong mereka yang kini beralih ke Parti Amanah Negara (AMANAH) atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Umno pula, katanya, berdepan risiko kehilangan undi penyokong parti itu dengan munculnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Justeru apa yang tinggal, kalau nak menang Umno kena ada strategi untuk tarik undi PAS. PAS pula kena ada strategi untuk tarik undi Umno.

"Sebab itu untuk elak berlaku pertembungan (antara PAS dan Umno) kedua-dua parti perlu bekerjasama. Tak perlu pun PAS menyertai BN," katanya.

Mahfuz dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataannya berkaitan pendirian BERSATU masih mahu berunding dengan PAS menjelang PRU ke-14.

Pembangkang masih bergelut untuk membentuk barisan yang mantap sebagai persediaan menghadapi BN pada PRU yang dijangka akan diadakan seawal suku pertama tahun depan.

Ketika BERSATU sudah menandatangani persefahaman dengan HARAPAN, PAS masih menjarakkan diri dengan pembangkang lain kecuali PKR dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

PAS juga menyatakan beberapa syarat untuk parti itu bekerjasama dengan pembangkang.

Kata Mahfuz, kerjasama antara PAS dan Umno - jika terjadi - akan menggabungkan undi untuk kedua-dua parti dan membantu kemenangan mereka.

Dalam jangkaan keadaan menjadi begitu, kata Mahfuz, ada orang yang bertanya kepada beliau sama ada anggota PAS boleh mengundi Umno berdasarkan sejarah permusuhan panjang kedua-dua parti.

Kata Mahfuz, pada pandangannya keadaan semasa sedang digunakan oleh kepimpinan PAS untuk meyakinkan anggota parti menerima dan mengundi Umno.

Bagaimanapun beliau mengakui kerjasama mengelak pertembungan secara langsung antara PAS dan Umno itu masih pada tahap hipotesis.

Sementara itu mengenai usaha BERSATU memujuk PAS, Mahfuz menjelaskan ketika ini parti berkenaan tidak keliru seperti didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pihak yang keliru ialah parti pembangkang lain yang tidak memahami mesej tersirat PAS.

"Mesej PAS ialah mereka tidak bersedia bekerjasama dengan HARAPAN, sebab itulah PAS letak bermacam alasan yang diketahui sukar diterima parti pembangkang lain.

"Antara syarat ditetapkan PAS ialah, parti itu mesti menjadi ketua dalam gabungan berkenaan, atau tiada satu pun daripada 70 kerusi ditandinginya sebelum ini boleh diserahkan kepada parti lain.

"Siapa yang nak berunding kalau belum bertemu syarat sudah ditetapkan lebih awal," katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata, parti itu tidak mengadakan sebarang perbincangan untuk bekerjasama dengan Umno.

Setakat ini, katanya, kerjasama yang disertai PAS adalah melalui Gagasan Sejahtera dengan IKATAN.

"Kita tak ada bincang. Kerjasama yang PAS ada sekarang ialah dengan (melalui) GAGASAN sahaja, iaitu dengan IKATAN," katanya.

Lihat Komen