malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AUKU belum benar-benar pergi, kata aktivis siswa
ADS

Aktivis mahasiswa menuntut naib canselor Universiti Malaya (UM) campur tangan membatalkan penggantungan pelajarnya Anis Syafiqah Md Yusof.

Perkara itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan hari ini, setelah Anis rakan-rakannya digantung pengajian satu semester dan didenda kerana terlibat dalam himpunan Tangkap MO1.

Tampil membela rakan seperjuangannya, Asheeq Ali berkata mereka menyertai himpunan itu sebagai mahasiswa yang cakna terhadap isu-isu dalam negara.

"Klausa yang digunakan adalah kami memalukan universiti. Saya nak nyatakan di sini kami tak malukan mana-mana universiti.

“Kami berdiri di sana sebagai seorang rakyat Malaysia untuk mendesak kerajaan menangkap MO1 (Malaysian Official 1).

"Kami tidak membangkang kerajaan, kami tak suruh (Datuk Seri) Najib (Razak) turun, kami tak suruh Rosmah (Mansor) turun,” kata Asheeq kepada pemberita ketika ditemui di hadapan bangunan Dewan Canselor UM, Kuala Lumpur hari ini.

Anis dan dua lagi aktivis mahasiswa hari ini digantung pengajian satu semester dan denda RM400 selepas didapati bersalah memalukan universiti susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur.

Seorang lagi aktivis hanya dikenakan hukuman denda RM200.

Sementara itu, Asheeq berkata apa yang dilakukan pihak universiti tidak sah dan masih mengamalkan kaedah lama Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Kaedah semua universiti di negara ini juga tidak dipinda setelah AUKU dipinda maka merujuk kepada apa yang berlaku hari ini tidak sah,” katanya.

Ashheq juga mempertikaikan perjalanan pendengaran terhadap empat pelajar UM itu yang didakwa mempunyai banyak cacat cela.

"Bukti yang diambil hanyalah dari video-video di laman sosial serta tiada autoriti.

“Panel prosiding juga tidak membawa sebarang saksi dalam menyokong hujah pendakwaan. Panel juga gagal membuktikan elemen yang disebut dalam pendakwaan," kata Asheeq.

Beliau juga mendakwa anggota panel bukan mereka yang mahir dalam undang-undang, sahingga sukar memahami hujah undang-undang.

Perhimpunan "Tangkap MO1" dianjurkan bagi mendesak penahanan M01 yang dinamakan berkali-kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat, untuk menyita aset berkaitan 1MDB.

Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengakui Najib ialah MO1 tetapi menegaskan perdana menteri bukan sebahagian daripada siasatan DOJ.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi UM berhubung dakwaan itu.

Lihat Komen