malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Video pesan PM pada Jokowi jadi perhatian di Indonesia
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 12:33 PM
Dikemaskini: 4:58 AM
ADS

Video Datuk Seri Najib Razak meminta Presiden Indonesia Joko Widodo menunjukkan ketegasan terhadap Myanmar dalam isu Rohingya kini viral di republik itu dan dipetik pelbagai media tempatan.

Walaupun himpunan setiakawan dengan penduduk Rohingya yang ditindas itu berlangsung Ahad lalu, video 16 minit itu baru dikesan beredar sejak kelmarin.

Dalam tempoh dua hari dimuat naik, video itu sudah ditonton hampir sejuta orang, setakat berita ini ditulis.

Beberapa media utama Indonesia seperti Jakarta Post, Detik dan Republika sudah melaporkan kandungannya.

Kesemua media itu mengetengahkan gesaan Najib supaya Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi meminta rakyat Indonesia berhimpun di negara itu bagi menyampai mesej mereka.

"Saya pun nak minta Presiden Jokowi, minta rakyat Indonesia berhimpun. Jangan protes Ahok saja. Ahok, Ahoklah! Rohingya mesti diperjuangkan di Indonesia. Mereka boleh berhimpun.

“Di Jakarta, himpun," Najib dilapor sebagai berkata dalam ucapan yang berapi-api.

Acara itu turut dihadiri pemimpim-pemimpin Umno, PAS, NGO dan masyarakat Rohingya di negara ini.

Lautan manusia baru-baru ini memenuhi Jakarta bagi menyatakan bantahan terhadap Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang didakwa menghina agama.

Ahok akan diheret ke mahkamah kerana mengkritik tindakan musuh politiknya yang menggunakan sepotong ayat al-Quran bagi berkempen menjatuhkannya sebagai gabenor dalam pilihan raya tempatan.

Sementara itu, ucapan Najib itu rata-rata mendapat reaksi negatif warga maya, terutamanya dari Indonesia, yang melihatnya sebagai campur tangan negara luar.

Satria Panandita: Kurang ajar berani sekali perdana menteri Malaysia menyuruh presiden Indonesia. Bagian apanya dia itu.

Tony Lee: Ternyata tak Malaysia, tak Indonesia semuanya sama, banyak ahli politik berpura-pura membela agama untuk menutupi kebusukan mereka! Munafik! Munafik! Munafik!

Lihat Komen