malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahfuz pakai baju PAS tapi hati pada AMANAH, kata Umno
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 11:20 AM
Dikemaskini: 3:23 AM
ADS

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar 'memakai' baju PAS tetapi hatinya lebih kepada Parti Amanah Negara (AMANAH), kata Ahli Parlimen Ledang Datuk Ir Hamim Samuri.

"Bagi saya Mahfuz ini boleh digelar sebagai ‘syan tong… hanya tahu menjadi penghasut. Suka menghasut dan memecah-belahkan orang.

“Bila dia lihat walak dalam Umno pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu, itu membuatkan dia berasa cemas kerana masih ramai yang sayang dan setia bersama Umno dan kepimpinan sedia ada,” ujarnya, memetik laporan Umno Online.

Tambah Hamim yang juga merupakan timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar, justeru, Mahfuz yang sebenarnya tidak memahami erti kesetiaan.

Hamim berkata demikian sebagai membidas kenyataan Mahfuz yang menyamakan walak Umno seperti kesetiaan dalam kongi gelap.

Mahfuz berkata, isu walak atau kesetiaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini disifatkan menjadi kalimah “ugutan” semata-mata.

Jelasnya, ia berbeza dengan pengamalan dalam tradisi Islam apabila walak diberi, bukan diminta, kepada ulama atau pemimpin kerana sikap mereka.

“Kedengaran di Persidangan Agung Umno Najib memeras ugut orang yang tidak berwalak kepadanya sebagai pengkhianat dan sebagainya kerana dia adalah khalifah.

“Dalam konteks parti, khalifah itu adalah presiden dan dalam konteks negara khalifah itu adalah perdana menteri walaupun seorang yang mengamalkan kleptokrasi ('pencuritokrasi'),” sindir bekas naib presiden PAS itu.

Mengulas lanjut, Hamim berkata, perhimpunan agung Umno baru-baru ini adalah bukti kukuh kesetiaan dan kepatuhan ahli parti tidak pernah berbelah bagi kepada parti dan pemimpin sedia ada.

“Mahfuz sebenarnya tidak payah sibuk dalam hal rumahtangga orang lain sebab orang seperti dia takkan faham apa maksud kesetiaan.

“Dia boleh cakap apa sahaja tapi dia tidak akan boleh membeli atau merobohkan sifat walak orang Umno," tambahnya.

Lihat Komen