malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Nur Jazlan: Mengapa takut jika tiada rahsia?
ADS

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pertubuhan tempatan tidak perlu bimbang dengan siasatan polis terhadap dana mereka jika benar pihak terbabit tiada apa-apa untuk disembunyikan.

Beliau turut menafikan dakwaan Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen bahawa siasatan berhubung dana luar diterima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini adalah sebahagian daripada agenda Umno selepas parti itu selesai mengadakan perhimpunan tahunannya baru-baru ini.

Kata Nur Jazlan, siasatan pihak berkuasa ke atas BERSIH dan pengerusinya Maria Chin Abdullah bermula sebelum Umno bersidang.

"Siasatan itu adalah mengenai pembiayaan asing dan kini polis menyiasat NGO lain kerana menerima dana dari luar.

"Waktu perhimpinan BERSIH dan Umno adalah kebetulan. Ia berlaku ketika siasatan sedang berjalan tetapi ada sesetengah orang mempolitikkannya," kata anggota parlimen Pulai itu kepada Malaysiakini.

Beberapa pemimpin NGO dipanggil polis untuk disoal siasat ekoran dakwaan ada pertubuhan tertentu menerima bantuan kewangan dari Open Society Foundations yang dikaitkan dengan George Soros.

Antara pertubuhan yang disiasat setakat ini ialah BERSIH, Majlis Peguam Malaysia dan Malaysiakini. Pihak berkuasa menyiasat organisasi itu mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Pada 18 November, Maria Chin ditahan selama 10 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Penahanan Maria Chin dibuat sehari sebelum perhimpunan BERSIH5 berlangsung di Kuala Lumpur.

Minggu ini pula beberapa wakil NGO, termasuk dari BERSIH, Empower, LFL dan Suaram dipanggil untuk disoal siasat.

Tak merujuk fakta

Kata Nur Jazlan tiada apa yang perlu dibimbangi NGO terbabit jika mereka benar-benar tidak ada rahsia.

"Adakah mereka mempunyai sesuatu yang ingin disembunyikan berkaitan cara mereka dibiayai? Jika tidak, mengapa mesti bimbang?

"Pada akhirnya nanti mahkamah akan menentukan sama ada berlaku sebarang kesalahan dibuat," katanya.

Nur Jazlan berkata negara ini percaya kepada prinsip seseorang atau mana-mana pihak tidak dianggap bersalah sehingga ia dibuktikan bersalah.

Semalam Malaysiakini turut menyiarkan kenyataan bekas pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga yang meminta Nur Jazlan menjelaskan mengapa isu derma RM2.6 bilion diterima Datuk Seri Najib Razak tidak disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam berkata sumbangan dari luar negara itu juga sepatutnya disiasat menggunakan peruntukan undang-undang sama seperti dihadapi NGO terbabit.

Bagaimanapun Nur Jazlan berkata beberapa NGO kini "bermain politik" dan tidak merujuk kepada fakta.

"Polis sudah menyiasat isu itu dan 1MDB. Perdana menteri memberi kenyataan di parlimen dan perkara itu sudah dirujuk kepada peguam negara untuk tindakan lanjut.

"Siasatan RM2.6 bilion itu dilakukan lama sebelum semua ini berlaku. Bacalah laporan media beberapa bulan lepas," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen