malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Putus hubungan diplomatik, usir duta Myanmar
ADS

ULASAN l Pemuda AMANAH merakamkan rasa sedih dan kecewa terhadap kezaliman yang menimpa umat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar.

Tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh junta tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya itu perlu dikutuk sekeras-kerasnya.

Sebarang bentuk penindasan tidak mengira kaum mahupun agama wajar ditentang oleh semua pihak lebih-lebih lagi yang mengakibatkan pembunuhan kejam dan melanggar hak asasi serta ketamadunan manusia.

Dalam isu ini, kami bersama seluruh umat Islam melahirkan rasa simpati kerana nasib muslim Rohingya ini masih gagal dibela sejak sekian lama sehingga hari ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), dan Asean gagal menjalankan peranan mereka, sebaliknya masing-masing lepas tangan dan hanya memikirkan kepentingan sendiri.

Pemuda AMANAH menggesa kerajaan Malaysia mengeluarkan pendirian secara rasmi dan tegas dalam isu ini sebagai tekanan terhadap Kerajaan Myanmar.

Kami kecewa kerana kerajaan gagal memanfaatkan persidangan parlimen baru-baru ini untuk menyatakan sikap terhadap isu ini.

Bahkan, lebih menyedihkan usul di bawah 19 (a) untuk membahaskan isu pembunuhan orang Islam Rohingya di Myanmar yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah ditolak.

Kerajaan dilihat ingin menunjuk hero dan ingin melepaskan tanggungjawab sebenar mereka sebagai kerajaan dalam isu ini dengan menganjurkan himpunan sambil dibantu oleh sekelompok pihak.

Kami ingin tegaskan, kerajaan perlu melaksanakan tindakan yang lebih besar dalam memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya, bukan sekadar berhimpun semata-mata.

Antara lain, kerajaan wajar memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar dan mengusir duta mereka dari Malaysia.

Tindakan ini perlu dan akan memberi isyarat besar kepada kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

Ayuh, kita terus mendoakan nasib masyarakat Rohingya yang sedang ditindas!


MOHD SANY HAMZAN adalah Ketua Pemuda AMANAH

Lihat Komen