Lebih 10,000 orang berhimpun di perkarangan Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur bagi membantah penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.
Perhimpunan yang dinamakan Solidariti Ummah Rohingya itu penuh warna warni dengan dihadiri anggota PAS, Baju Merah dan masyarakat Rohingya yang menetap di negara ini.
Hadir sama dalam perhimpunan yang bermula jam 8.30 pagi itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Selain itu, timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan juga dilihat hadir.
Para peserta membawa sepanduk, antaranya berbunyi 'bebaskan Rohingya' dan 'Rohingya memerlukan suara anda untuk hapuskan pembersihan etnik'.
Najib dalam perhimpunan Agung Umno semalam mengesahkan kehadiran beliau dalam acara itu dan menegaskan perhimpunan tersebut bukan untuk menganggu hal ehwal Myanmar.
Ia berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay yang memberi peringatan kepada Malaysia terhadap campur tangan dalam hal ehwal Myanmar.
Abdul Hadi juga sebelum ini mengecam kezaiman ke atas etnik Rohingya dan menegaskan tanpa campurtangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Asean – tidak mustahil Myanmar akan mengalami nasib serupa seperti berlaku di Bosnia Hazegorvina.
Semalam, sekumpulan Sami Buddha membuat bantahan terhadap Najib di luar Kedutaan Malaysia di Myanmar atas pendirian Putrajaya mengenai isu Rohingya.
Menurut portal berita Rohingya Vision, kira-kira 30 sami Buddha melaungkan slogan menentang Najib di luar kedutaan itu kerana didakwa campur tangan dalam hal ehwal Myanmar.
Myanmar tidak mengiktiraf masyarakat Rohingya sebagai rakyat negara itu.