malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
3 persatuan peniaga tarik balik saman berhubung perhimpunan BERSIH, Baju Merah
Diterbitkan:  Dec 1, 2016 6:56 PM
Dikemaskini: 11:00 AM
ADS

Tiga persatuan peniaga dan penjaja sekitar ibu negara menarik balik saman mereka terhadap aktivis pembangkang Maria Chin Abdullah dan empat lagi berhubung perhimpunan BERSIH5 dan Gerakan Baju Merah di Dataran Merdeka, bulan lepas.

Mahkamah Tinggi hari ini kemudiannya membatalkan saman difailkan Persatuan Peniaga Bazaar Melayu Moden Jalan Masjid India, Persatuan Penyewa Premis Perniagaan Medan Mara dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman.

Peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Maria berkata mahkamah membenarkan saman pemula yang difailkan pada 16 Nov lepas itu ditarik balik tanpa mengenakan sebarang kos.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes itu dalam kamar Hakim S. Nantha Balan hari ini. Bagaimanapun, alasan menarik balik saman tidak didedahkan kepada pihak media.

Tiga persatuan itu menfailkan saman terhadap Maria, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih (BERSIH 2); syarikat Bersih & Adil Network Sdn Bhd; dan Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih (BERSIH 2) sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Turut dinamakan sebagai defendan keempat dan kelima ialah Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa perhimpunan itu akan menyebabkan 1,000 peniaga di sekitar Jalan Masjid India, Medan Mara dan Lorong Tuanku Abdul Rahman mengalami kerugian akibat halangan jalan.

Mereka mendakwa halangan jalan yang akan diadakan kelak akan mengakibatkan kehadiran pengunjung ke kedai dan gerai-gerai peniaga berkurangan dan menyebabkan mereka, yang mempunyai pendapatan minimum RM800 sehari, mengalami kerugian.

Mereka juga memohon perintah injuksi sementara bagi menghalang perhimpunan itu diadakan selain perintah pengkomitan terhadap pihak yang melanggar perintah injunksi tersebut.

Pada 17 November lepas, mahkamah menolak permohonan tiga persatuan itu untuk mendapatkan perintah injuksi sementara bagi menghalang perhimpunan berkenaan yang diadakan pada 19 November lepas.

Nantha Balan membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan plaintif tidak mempunyai merit dan tidak memenuhi keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

- Bernama
 

Lihat Komen