malaysiakini logo
story-image
ADS

Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan berusaha memperbanyakkan program-program bercorak pelbagai kaum, jelas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.

Beliau juga berkata RTM tidak mahu dilihat sebagai melambangkan orang Melayu sahaja dan wartawan digesa memberikan teguran jika stesen televisyen itu tidak menjalankan tanggungjawab itu.

Zainuddin berkata media kerajaan perlu bertegas dan penerbit-penerbit yang tidak menitikberatkan program-program bercorak demikian boleh digugurkan.

"Penerbit yang berkali-kali tidak mahu, (kita akan) drop (gugurkan)," katanya ketika melancarkan 'Fiesta Julai TV2 dan TV2' di Angkasapuri pagi tadi.

Ditanya selepas acara itu tentang kelulusan permohonan kad akhbar malaysiakini , setiausaha parlimen itu mengulangi pendiriannya sebelum ini agar Malaysiakini.com tidak "menghentam" kerajaan.

"Suruh mereka behave themselves (jaga kelakuan mereka), perangai biar macam orang Malaysia," katanya kepada malaysiakini .

Dalam pertemuan dengan Malaysiakini.com pada Mac lalu, Zainuddin memberikan jaminannya untuk membawa isu kelulusan kad itu kepada pihak berkenaan.

Akhbar Internet itu memohon kad akhbar pada April tahun lalu tetapi Jabatan Penerangan, di bawah kementerian itu, menolak permohonan dengan alasan malaysiakini tidak mempunyai permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin pernah dilaporkan berkata, akhbar Internet "tidak memerlukan permit kerana bahan-bahan siarannya tidak bercetak, tidak boleh dipegang atau diedarkan."

Zainuddin, juga dikenali sebagai Zam berkata lagi, laporan-laporan malaysiakini "masih menghentam kerajaan."

Akhbar itu sering menghadapi masalah menghadiri pelbagai acara rasmi kerajaan akibat tidak memilik kad akhbar. Baru-baru ini Umno menghalang malaysiakini daripada membuat liputan perhimpunan agung dengan alasan tidak memilik kad itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.