malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP khianati Dr Mahathir, kata Utusan
Diterbitkan:  Nov 27, 2016 2:58 PM
Dikemaskini: 7:11 AM
ADS

Keputusan DAP tidak menjemput Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan parti itu awal bulan depan dianggap sebagai satu pengkhianatan.

Kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat dalam ruangan pojok akhbar itu berkata DAP sepatutnya menghargai peranan negarawan itu kerana mengubah pendirian orang Melayu daripada benci kepada sukakan DAP.

"Apa salahnya menjemput beliau setidak-tidaknya atas kapasiti sahabat perjuangan DAP? Apakah beliau tiada nilai pada DAP? Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak sepatutnya memalukan Mahathir dan parti Pribumi.

"Sedangkan Dr Mahathir sanggup beraksi dalam perhimpunan haram BERSIH yang dikuasai DAP, bersama-sama dalam deklarasi rakyat serta turut menjayakan konvensyen Pakatan Harapan," kata Awang.

Awang berkata alasan DAP bahawa Dr Mahathir dan BERSATU bukan sebahagian Pakatan Harapan adalah rapuh dan tidak boleh diterima.

"Apakah ini bagi memastikan persidangan itu tidak hambar sebagaimana konvensyen DAP Pulau Pinang baru-baru ini," soalnya.

Kata Awang, salah satu sebab konvensyen itu dan himpunan BERSIH kurang mendapat sambutan adalah kerana ramai penyokong tegar DAP masih belum dapat memaafkan Mahathir dan dosa politiknya kepada parti itu terlalu besar.

"Lalu Awang tertanya-tanya percaturan siapa yang salah, siapa yang lebih menggunakan siapa dan siapa yang dikhianati?"soalnya.

Minggu lalu, setiausaha pengelola DAP Anthony Loke mengesahkan partinya hanya menjemput pemerhati daripada Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Walaupun BERSATU dianggap mesra HARAPAN, ia belum secara rasmi menjadi sebahagian daripada gabungan pembangkang itu.

Menurut Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti itu memerlukan masa sebelum memuktamadkan penyertaannya dalam HARAPAN.


 

 

 

 

 

 

 

Lihat Komen