malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak tanggapan bahawa Malaysia merupakan hab penjualan bayi seperti yang dilaporkan stesen televisyen al-Jazeera.

Beliau berkata tidak dinafikan bahawa aktiviti penjualan bayi berlaku di negara ini, namun ia tidak semudah yang dilaporkan dalam program terbitan al-Jazeera semalam.

Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengambil tindakan tegas dan bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan aktiviti pemerdagangan dan sebarang bentuk eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak diberi keutamaan.

"PDRM akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang dibuat pihak al-Jazeera bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, polis giat menangani isu berkenaan dan ini dibuktikan dengan tindakan yang diambil Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Orang (Atipsom) D7C yang ditubuhkan pada 2008, dan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.

Beliau turut mengesa masyarakat supaya mengambil anak angkat dengan mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan bagi memastikan tidak wujud ruang untuk eksploitasi kanak-kanak.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kementeriannya mengambil perhatian serius terhadap banyak isu yang diketengahkan dalam dokumentari stesen televisyen itu.

Katanya, kementeriannya sudah memulakan siasatan khusus terhadap para doktor dan pusat penjagaan kesihatan yang dilaporkan dalam program tersebut.

"Bergantung kepada hasil siasatan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap doktor dan pusat penjagaan kesihatan yang terbabit," katanya dalam kenyataan.

Dr Subramaniam berkata semula pengamal perubatan dijangka mematuhi standard tingkah laku masing-masing pada setiap masa selaras dengan maruah profesion tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen