malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permohonan Lim ketepi saman hina mahkamah ditetap 1 Mac
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 1 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengetepikan prosiding menghina mahkamah oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadapnya.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh itu di dalam kamar pada pengurusan kes hari ini.

Hakim juga mengarahkan peguam yang mewakili Lim untuk memfailkan permohonan itu dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili Apandi, berkata demikian kepada pemberita.

Apandi mendapat kebenaran Hakim Hanipah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Lim pada 21 September.

Lim dilaporkan pada bulan lepas telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan memohon mengetepikan permohonan penghinaan itu.

Apandi dalam saman pemula yang difailkan pada 18 Ogos, mendakwa Lim membuat kenyataan bahawa tuduhan terhadapnya adalah satu konspirasi yang akan meletakkan beliau di penjara dan kenyataannya memberi makna yang jelas bahawa "mahkamah juga terlibat dalam konspirasi terhadap tuduhan rasuah yang direka".

Sidang akhbar itu diadakan selepas Lim melancarkan simposium 'Dr Wu Lian Teh oleh Institut Pulau Pinang pada Julai di Jalan Brown, George Town.

Peguam Negara berusaha mengheret Lim ke penjara kerana melakukan penghinaan mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan di media cetak dan/atau media sosial yang akan menggugat pentadbiran keadilan, mengikis keyakinan awam terhadap sistem kehakiman serta menghina maruah dan integriti sistem mahkamah.

Beliau juga memohon  Lim membayar kos prosiding komital, dan apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Lihat Komen