Dalam keputusan penting hari ini, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 4 akta yang sama adalah tidak sah kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Dengan kata lain, untuk mendakwa mana-mana individu sebagai menghasut, pihak pendakwaan kini perlu membuktikan niat.
Keputusan mahkamah itu akan memberi kesan kepada semua kes hasutan sedang berjalan, kata peguam N Surendran.
Berikutan penghakiman itu, kes Mat Shuhaimi Shafiei lawan pendakwaraya awam di mana beliau mewakili ADUN Sri Muda itu tidak mempunyai kesan dan terbatal.
Hakim Datuk Varghese George Varghese memutuskan bahawa Seksyen 3 (3) melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan bersuara, dan oleh itu ia adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
"Ini adalah cabaran perlembagaan yang benar, ia belum pernah dilitigasi sebelum ini," katanya.
Keputusan yang menjadi nas undang-undang itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lim Yee Lan ketika membenarkan rayuan Mat Shuhaimi.
ADUN Sri Muda itu didakwa pada bulan Februari 2011 di Mahkamah Sesyen di Shah Alam dengan memuat-naik satu artikel yang didakwa memfitnah dalam blognya, srimuda.blogspot.com, mengenai pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam pada 30 Dis, 2010.
Mat Shuhaimi kini adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk seri Azmin Ali.