malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ketua AMK Ampang perlu isytihar harta, kata Rafizi
ADS

Ketua Pemuda PKR (AMK) Ampang, Adam Rosly perlu mengisytiharkan harta beliau, kata naib presiden parti itu Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, ia adalah cara terbaik untuk menghentikan kontroversi banglo RM1 juta milik pemuda yang berusia 28 tahun itu.

"Lagi cepat Adam isytihar saya rasa lebih mudah. Kerana masa itu anda tiada apa hendak disembunyikan dan segala-galanya telus maka ia berhenti di situ.

"Jika tidak Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos akan terus menaiki helikopter dan ia akan mengelirukan," kata Rafizi kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Rafizi berkata kontroversi itu dilakukan bagi mengalih perhatian terhdap isu 1MDB.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Pandan itu berkata, Jamal, wakil rakyat dan individu yang memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan juga perlu mengisytiharkan aset mereka.

Semalam, Jamal menjemput wartawan menaiki helikopter untuk melihat banglo milik Adam di Ampang.

Beliau mempersoalkan bagaimana pemuda berusia 28 tahun itu berjaya mengumpul kekayaan tersebut.

'Ada perniagaan perabot'

Adam semalam berkata kekayaannya bukan perkara pelik kerana ramai lagi anak muda yang kaya.

Beliau juga menjelaskan banglo di Kampung Melayu Ampang itu sebenarnya adalah rumah terbengkalai yang dibeli melalui lelongan bank berharga RM1 juta.

Ahli Parlimen Ampang dari PKR, Zuraida Kamaruddin juga mempertahankan Adam dan mengatakan bahawa pemuda itu dan bapanya adalah ahli perniagaan.

Beliau menjelaskan hari ini bahawa Adam mempunyai perniagaan perabot, yang merupakan anak syarikat perniagaan bapanya.

Bagaimanapun, Zuraida tidak pasti nama syarikat berkenaan.

"Ia telah dibeli di bawah pinjaman bank. Ia bukan satu isu, walaupun kamu mampu beli sebuah rumah teres RM1 juta.

"Ia hanya sebuah banglo di kampung, itu sebab kenapa ia nampak besar," kata Zuraida kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Rafizi berkata, siasatan tatatertib ke atas Adam hanya akan dijalankan jika terdapat aduan terhadapnya.

"Prosedur operasi standard jika terdapat laporan tatatertib terhadapnya maka Lembaga Disiplin akan menyiasat secara bebas," katanya.

Ditanya sama ada perlu siasatan, Rafizi berkata cara terbaik adalah Adam mengisytiharkan harta beliau.

 

Lihat Komen