malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
TPPA berkubur di bawah pentadbiran Trump, kata pakar
Diterbitkan:  Nov 14, 2016 5:52 PM
Dikemaskini: 9:54 AM
ADS

Memandangkan retorik sebelum pilihan raya oleh Donald Trump yang membantah keras Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), seorang pakar dasar luar berkata perjanjian ini tidak akan menemui penghujungnya - sudah tentu sekali bukan dalam bentuk sekarang.

Bercakap semasa perbincangan panel pada malam Khamis yang bertajuk "President Trump: The Asia Inbox" di Asia Society di New York, Nicholas Burns, bekas Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Politik berkata beliau amat sangsi dengan nasib TPP di bawah pentadbiran Presiden Trump.

Menjawab soalan daripada responden yang menanyakan sama ada TPP mempunyai peluang untuk diluluskan di bawah pentadbiran Trump, di tengah-tengah kebimbangan dalam kalangan 11 negara anggota yang lain berhubung nasib perjanjian itu, beliau berkata Trump kelihatan seperti 'amat serius' untuk menghentikan perjanjian perdagangan itu.

"Beliau (Trump) nampaknya amat serius dan percaya yang TPP bertentangan dengan kepentingan nasional Amerika.

"Saya rasa versi TPP sekarang akan berakhir dan apa yang terbaik kita boleh harapkan adalah beberapa rundingan semula dalam kalangan 12 negara anggota.

ADS

"Saya percaya isu ini akan menjadi agenda utama Abe (Perdana Menteri Jepun) apabila beliau datang ke New York minggu depan...usaha (menghentikan TPP) ini adalah satu kesilapan besar," kata Burns kepada Bernama.

Beliau berkata Trump, yang akan disokong oleh kongres dikuasai Republikan membantah keras TPP dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain dengan menyifatkannya sebagai 'bencana' dan 'pembunuh pekerjaan'.

Burns berkata sekiranya Amerika Syarikat menarik diri daripada FTA seperti TPP dan peranannya dalam 'liberal global order', negara itu "akan tewas dari segi kelebihan strategik kepada China."

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen