malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Terus terang apa tindakan terhadap pegawai bank dikaitkan 1MDB'
Diterbitkan:  Nov 14, 2016 3:25 PM
Dikemaskini: 7:35 AM
ADS

Putrajaya digesa menjelaskan mengapa seoalah-olah tiada tindakan diambil terhadap dua pegawai atasan bank yang didakwa terbabit dalam kontroversi 1MDB.

Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, setakat ini, Putrajaya hanya mendakwa "tindakan pihak berkuasa" telah diambil terhadap dua individu itu tanpa memberikan butiran yang sesuai.

Beliau berkata kedua-dua mereka dituduh oleh penerbitan antarabangsa mempunyai kaitan dengan Jho Low dan terlibat dalam pemindahan wang haram yang berkaitan dengan kontroversi 1MDB.

Apabila beliau menyoal Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak supaya menamakan dua individu itu secara khusus baru-baru ini, jawapan diberi berbunyi:

"Bank Negara telah menjalankan siasatan menurut kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Anti Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 terhadap institusi kewangan terbabit di dalam kes berhubung 1MDB.

“Berdasarkan hasil siasatan, tindakan penguatkuasaan sewajarnya telah diambil dalam lingkungan bidang kuasa bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Bank Negara."

Belajar dari Singapura

Pua menegaskan Najib tidak menyebut apa tindakan diambil terhadap bank itu dan kedua-dua individu yang terlibat.

"Malah, sebagaimana yang kita sedia maklum, kedua-dua (individu) masih bebas," kata Pua sambil menambah salah seorang daripada mereka masih memegang jawatan pengarah dalam dua syarikat tersenarai.

"Jika Bank Negara telah mengambil tindakan terhadapnya kerana bersubahat dengan kesalahan pengubahan wang haram, adakah dia masih boleh menjadi pengerusi dan pengarah syarikat tersenarai awam?" soal Pua.

Sebaliknya, kata Pua, pihak berkuasa Singapura menangani perkara-berkaitan dengan lebih telus.

Beliau menegaskan bekas pegawai bank BSI Singapura Yeo Jiawei telah menghadapi tuduhan pengubahan wang haram, penipuan dan pemalsuan, manakala bekas pegawai bank Yak Chee Yew mengaku bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaraya Singapura memberitahu mahkamah bahawa Yeo dan Yak mempunyai hubungan dengan Low berhubung transaksi yang berkaitan dengan 1MDB.

Pua berkata, dalam kes ini, tidak banyak yang dilakukan oleh Malaysia.

"Malangnya, gabenor baru berdiam diri dan sikap diam Bank Negara dalam menangani skandal pengubahan wang haram hanya akan menjadikan reputasi Malaysia sebagai kleptokrasi global," katanya.

Lihat Komen