malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bursa Malaysia dijangka diniaga tidak menentu minggu depan
Diterbitkan:  Nov 12, 2016 12:45 PM
Dikemaskini: 4:47 AM
ADS

Bursa Malaysia dijangka mencatatkan dagangan tidak menentu minggu depan berikutan perkembangan luaran kurang memberangsangkan sementara menunggu kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan dalam suasana ketidakpastian terutamanya berhubung dasar AS di bawah presiden yang baru dipilih Donald Trump.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata terdapat kemungkinan kadar faedah dinaikkan berikutan tekanan inflasi yang dijangkakan dengan perbelanjaan besar di bawah pentadbiran Trump untuk membina tembok dan prasarana.

Beliau berkata kebanyakan pelabur akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat kepada pasaran saham, dan memerhati langkah seterusnya Trump bagi dasarnya ke arah ekonomi sedang pesat membangun.

"Dalam keadaan ini, indeks petunjuk pasaran dijangka diniagakan antara 1,600 and 1,640 mata minggu depan," katanya kepada Bernama, sambil menambah ringgit yang lemah dan penurunan harga minyak dijangka memberi tekanan kepada indeks tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga yang lebih baik daripada dijangkakan pada 4.3 peratus daripada 4.0 yang dicatatkan pada suku sebelumnya, dipacu oleh penggunaan domestik dan eksport bersih, membuktikan bahawa asas ekonomi Malaysia masih kekal kukuh.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 14.05 mata kepada 1,634.19 berbanding 1,648.24 pada Jumaat sebelumnya.

Bagi asas minggu ke minggu, Indeks FBM Emas turun 03.47 mata kepada 11,504.25, Indeks FBMT 100 susut 100.84 mata kepada 11,214.96 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 128.05 mata kepada 12,103.91.

FBM Ace jatuh 22.81 mata kepada 4,964.59 dan FBM 70 susut 136.03 mata kepada 13,350.15.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 23.63 mata kepada 14,283.13, Indeks Perusahaan susut 35.56 mata kepada 3,109.48 dan Indeks Perladangan meningkat 17.41 mata kepada 7,760.02.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 8.86 bilion unit bernilai RM10.73 bilion berbanding 7.22 bilion unit bernilai RM9.08 bilion yang dicatatkan Jumaat minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 5.82 bilion unit bernilai RM10.18 bilion berbanding 4.73 bilion unit bernilai RM8.69 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.70 bilion saham bernilai RM372.54 juta berbanding 1.37 bilion saham bernilai RM232.88 juta sebelumnya.

Pasaran ACE menambah kepada 1.32 bilion saham bernilai RM177.08 juta berbanding 1.10 bilion saham bernilai RM152.33 juta minggu sebelumnya.

- Bernama

Lihat Komen