malaysiakini logo
story-image
ADS

Pelajar yang dipecat daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) minggu lalu atas tuduhan menyertai perhimpunan haram menyerahkan surat rayuannya kepada jawatankuasa tatatertib universiti itu hari ini.

Rafzan Ramli memberitahu malaysiakini , surat rayuannya itu diserahkan kepada pegawai jawatankuasa itu, Saion Sabtu, pagi tadi.

Pelajar itu, yang disingkir serta-merta Jumaat lalu berkata, keputusan rayuan itu boleh diketahui dalam masa tiga minggu.

"Kalau mahu mengetahui lebih cepat, saya boleh berhubung terus dengan pegawai di Jabatan Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan," katanya.

Apabila ditanya mengenai hak seseorang pelajar yang dipecat untuk mengemukakan rayuan, seorang kakitangan di bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu berkata, Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) membenarkan rayuan dibuat kepada kementerian melalui Timbalan Naib Canselor (HEP) universiti terbabit.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM Datuk Prof Dr Adnan Alis gagal dihubungi untuk ulasan lanjut.

Rafzan bersama lima pelajar ditangkap polis kerana didakwa terbabit dengan perhimpunan mahasiswa membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara pada 8 Jun.

Mereka ditahan di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur hampir 24 jam dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada Sabtu lalu, Rafzan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menggesa badan itu menyiasat perbicaraan tatatertib UiTM yang didakwa tidak adil dan tidak bebas, serta memohon universiti membatalkan keputusan memecatnya yang dianggap tidak demokratik.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.