malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Presma jamin restoran mamak tak naikkan harga
ADS

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberi jaminan tiada kenaikan harga makanan di restoran yang bernaung di bawah persatuan itu.

Ini berikutan kerajaan sejak 1 November lalu memansuhkan subsidi minyak masak kecuali dalam paket satu kilogram yang dijual pada harga RM2.50.

Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, pihaknya memahami bahawa subsidi minyak masak adalah bagi membantu isi rumah dan bukan pengusaha mahupun peniaga restoran.

"Kami dapat beri jaminan dan janganlah dengar khabar angin bahawa pengusaha restoran akan menaikkan harga makanan. Semua ahli kami telah berjanji untuk tidak menaikkan harga makanan dan minuman mereka.

"Kita harus faham minyak masak yang subsidi 1 kilogram untuk isi rumah, bukan untuk pengusaha atau peniaga," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 13 Presma di Putrajaya hari ini.

Turut hadir dalam AGM berkenaan ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sebelum ini, pembatalan subsidi minyak masak menyebabkan sesetengah pengeluar menaikkan harga produk mereka sehingga 60 peratus.

Harga minyak masak dalam botol lima kilogram, Red Eagle dilapor naik dari RM14.70 kepada RM23.70 iaitu peningkatan RM9 atau 61.2 peratus.

Harga botol minyak masak satu kilogram jenama sama pula naik sebanyak RM2.05 (57 peratus) sementara botol minyak masak dua kilogram naik RM3.35 (46 peratus).

Mengulas lanjut, Noorul berkata Presma tidak mahu mendengar sebarang alasan pengusaha yang terpaksa menaikkan harga makanan bagi menampung kos kenaikan harga barangan.

Sebaliknya, Noorul berkata Presma akan bekerjasama dengan KPDNKK bagi membanteras kenaikan harga makanan, termasuk melaporkannya kepada pihak berkuasa itu.

Tangguh beku pekerja asing

Sementara itu Noorul dalam sidang media berkenaan turut menggesa kerajaan mempertimbangkan semula penangguhan pengambilan pekerja asing dari luar negara.

Beliau berkata, keputusan membekukan pekerja asing memberi kesan kepada pengusaha restoran di bawah persatuan itu, malah ada antara mereka terpaksa 'gulung tikar'.

"Sekarang ini sudah ada rintihan pengusaha bahawa mereka sudah tidak lagi dapat bertahan malah ada yang terpaksa menutup perniagaan serta menjual perniagaan mereka kerana kekurangan pekerja.

"Kerajaan perlu memandang serius masalah ini kerana industri ini telah menyumbang kira-kira RM9 bilion hingga RM10 bilion setahun," tambah Noorul.

Kerajaan Februari lalu mengumumkan pengambilan pekerja asing ditangguhkan berkuatkuasa serta merta.

Terdahulu, Hamzah ketika berucap merasmikan AGM itu meminta Presma menyediakan kertas kerja berhubung perkara tersebut untuk dibentangkan kepada kementeriannya minggu hadapan.

 

Lihat Komen