malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aktivis OKU puasa, doa untuk Malaysia menjelang BERSIH5
ADS

Aktivis Orang Kurang Upaya (OKU), Isaiah Jacob akan memulakan sesi "berpuasa dan berdoa" sehingga perhimpunan BERSIH5 pada 19 November.

Beliau akan memulakan kempen bermula tengah malam Ahad depan di Dataran Merdeka dan berakhir pada Sabtu berikutnya.

"Kami ingin meminta tuhan yang maha besar untuk menyelamatkan Malaysia. Kita perlu kuasa tuhan untuk mengatasi keadaan semasa di negara kita," katanya merujuk pelbagai masalah yang melanda negara ini.

"Saya mahu selamatkan Malaysia ...kita perlu kuasa tuhan," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pagi ini.

Jacob, 50, berkata kempen itu adalah untuk meminta bantuan tuhan memastikan perhimpunan tersebut akan diteruskan dengan lancar.

Beliau mengadu tindakan tidak diambil oleh pihak berkuasa berhubung ancaman yang dibuat terhadap penganjur BERSIH5.

Walaupun tidak menyebut nama, ia jelas merujuk kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengetuai pergerakan Baju Merah.

Kempen mogok lapar itu bukan pertama kali dilakukan Yakub, yang mendakwa beliau pernah berpuasa tanpa makanan selama 40 hari.

Aktivis itu juga menafikan beliau dibayar oleh sesiapa untuk menjalankan kempen itu.

"Saya tak dibayar oleh mana-mana pihak. Ini datang daripada minda saya sendiri. Saya sayangkan negara ini, semua warga Malaysia.

"Saya harap mereka akan bersama untuk menjayakan (kempen ini)," katanya.

Yakub bagaimanapun menyambut baik bantuan daripada segi kerusi, tempat untuk tidur dan tandas mudah alih.

"Saya tidak mahu apa-apa bentuk wang tunai," katanya.

Untuk kempen ini, beliau menjelaskan bahawa doa tertentu akan dibaca setiap hari.

Katanya, sebagai contoh pada hari pertama beliau akan berdoa agar perhimpunan BERSIH berlangsung dengan lancar manakala hari kedua akan mendoakan kesejahteraan penganjur BERSIH dan keluarga mereka.

Beliau turut mengalu-alukan semua masjid dan tempat-tempat ibadat yang lain untuk mengadakan solat hajat dalam tempoh tersebut.

"Kalau saya sebagai seorang yang kurang upaya boleh keluar dan melakukan sesuatu untuk negara, setiap rakyat Malaysia juga perlu melakukan perkara yang sama," katanya.

Yakub juga tidak fikir bahawa kempen beliau akan menghadapi tentangan.

"Walaupun mereka datang, saya serahkan kepada tuhan yang maha kuasa. Orang kurang upaya istimewa di mata tuhan, jika sesiapa cuba sentuh, maka tuhan akan lindungi mereka.

"Saya akan jalankan tugas saya tanpa ragu. Saya seorang yang berani, kurang upaya dari segi fizikal, tetapi minda saya kuat," katanya.

Lihat Komen