Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata masih terlalu awal untuk membuat analisis sama ada Amerika Syarikat akan meneruskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ataupun tidak.
Ia memandangkan Calon Republikan, Donald Trump baru sahaja memenangi pilihan raya presiden beberapa jam yang lalu.
“Bagi saya terlalu awal membuat analisis kerana perkara ini baru berlaku beberapa jam dan kalau kita buat apa-apa andaian terburu-buru mungkin kurang tepat,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.
Mustapa berkata demikian mengulas kenyataan kontroversi Trump sebelum ini yang dilaporkan tidak menyokong perjanjian TPPA.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata ketika dalam proses kempen pilihan raya, pelbagai kenyataan akan dibuat.
Selain itu katanya, ada pendapat yang mengatakan Trump tidak mahu melaksanakan TPPA hanyalah sekadar retorik politik bagi mendapatkan undi.
“Jadi kalau kita lihat kempen memang macam-macam kenyataan dibuat, ada berpendapat itu kempen retorik untuk dapat undi dan pancing undi,
“Ada juga pandangan setelah menjalankan kerja sebagai presiden akan ada pengubahsuaian tapi sudah pasti ada perubahan kerana Donald Trump kempen atas dasar untuk ubah dasar Amerika,” katanya.
Bagaimanapun Mustapa mengakui sekiranya TPPA tidak dilaksanakan, ini akan memberi kesan kepada ekonomi negara.
“Kalau TPPA tak dilaksanakan ia merupakan satu perkara yang mungkin ada kesan dengan ekonomi Malaysia… antara sebab kenapa kita masuk proses ini adalah untuk membolehkan dapat akses yang lebih baik dalam pasaran Amerika,” katanya.
Bagaimanapun Mustapa berkata, Malaysia akan membuat perbincangan dengan beberapa negara lain yang turut menyertai TPPA bagi langkah seterusnya.
“Masih awal (nak cakap) tapi kita akan bincang TPPA dengan 12 buah negara, saya rasa TPPA akan cosult dengan mereka untuk melihat perkara ini. Tapi kita akan bincang dengan kawan-kawan yang lain,” katanya.
Mustapa ketika ditanya mengenai kebimbangan sekiranya TPPA tidak dilaksanakan berkata:
“Saya rasa itu mungkin awal kerana kita tak tahu kalau tiba-tiba ada perubahan, jadi awal untuk kata apa-apa.
“Itu (kenyataan TPPA) sebelum pilihan raya, lepas pilihan raya belum ada kenyataan lagi yang dibuat dalam sesuatu isu.
“Jadi jangan emosional, kehidupan kena teruskan, kita berharap Amerika akan terus amalkan sikap terbuka pada perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan,” katanya.