malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas ketua LPK dibebaskan tuduhan pecah amanah PKFZ
ADS

Mahkamah Sesyen Klang semalam membebaskan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang, hampir tujuh tahun selepas beliau didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah berhubung bayaran bernilai RM254.85 juta berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ ).

Peguamnya, Francis Ng Aik Guan memohon pelepasan dan pembebasan sepenuhnya selepas Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan surat perwakilan untuk menggugurkan pertuduhan yang dihantar oleh firma guamannya.

Katanya, pada permulaannnya, DPP bersetuju dengan pelepasan tanpa dibebaskan.

Walau bagaimanapun, berikutan tuduhan digugurkan, Ng berkata adalah tidak wajar bagi mahkamah untuk hanya memberikan pelepasan.

Hakim Mahkamah Sesyen Slamat Yahya kemudiannya memberikan pembebasan, kata Ng ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Phang, didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98.7 juta di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan serupa masing-masing membabitkan RM21.6 juta dan RM134.55 juta yang didakwa dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Di sebalik pembebasan itu, difahamkan bahawa saman sivil antara LPK terhadap Phang masih berjalan dan dijadual didengar bulan depan.

Sebelum ini, bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dan Tan Sri Chan Kong Choy dibebaskan daripada tuduhan menipu kabinet berhubung projek PKFZ.

Lihat Komen