malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Persatuan peniaga bantah sekat minyak masak dalam paket
ADS

Lebih 69,000 peniaga dan penjaja sekitar ibu kota akan menanggung beban peningkatan kos perniagaan sekiranya cadangan sekatan pembelian minyak masak bersubsidi dalam paket sekilogram terhadap
golongan itu dilaksanakan.

Naib Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur Muhamad Baba Kutty berkata mekanisme itu bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi menangani krisis bekalan susulan pelaksanaan rasionalisasi harga minyak masak.

Beliau berkata, ia hanya akan menambah beban peniaga kerana terpaksa membeli bekalan minyak masak tidak bersubsidi yang pastinya lebih mahal bagi kegunaan perniagaan.

"Hal ini kerana kebanyakan peniaga yang membeli minyak masak bersubsidi terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana yang menjalankan perniagaan sambilan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan mereka.

"Hasil jualan pula tidaklah begitu tinggi dan sesetengahnya terpaksa
membayar kos sewaan premis atau tapak yang agak mahal, sekiranya cadangan itu dilaksanakan ia pasti akan mengecilkan lagi margin keuntungan peniaga," katanya kepada Bernama.

ADS

Media tempatan hari ini melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengkaji mekanisme untuk menyekat peniaga kedai makan atau penjaja daripada membeli minyak masak bersubdisi dalam paket sekilogram dalam usaha mengimbangi stok bahan berkenaan di pasaran.

Muhamad berkata, kaedah berkenaan hanya sesuai dilaksanakan melibatkan peniaga berpendapatan tinggi atau kelas A yang menjalankan perniagaan secara besar-besaran dan meraih keuntungan ribuan ringgit secara rutin.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan pula berpendapat mekanisme itu hanya akan mewujudkan kesan buruk yang lebih besar melibatkan aspek harga jualan makanan di premis perniagaan makanan.

ADS

Tambahnya, cadangan itu mempunyai kesan berantai di mana akan menyebabkan pengguna dan pembeli terpaksa menanggung kenaikan harga yang dilakukan peniaga bagi menampung perbelanjaan pembelian minyak masak tidak bersubsidi.

"Kita mahu satu penyelesaian proaktif dilaksanakan supaya krisis bekalan minyak masak dapat diselesaikan secara menyeluruh selain pada masa sama tidak memberi kesan negatif kepada pengguna mahupun peniaga.

"Perlu diingatkan bahawa golongan peniaga dan penjaja berskala kecil dan sederhana ini juga kebanyakannya terdiri daripada rakyat kita sendiri yang tidak sepatutnya dinafikan hak untuk menikmati kemudahan subsidi diberikan kerajaan," katanya. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen