malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan gagal 'kawal' 23 tauke minyak masak, kata PAS
Diterbitkan:  Nov 4, 2016 5:17 PM
Dikemaskini: 10:10 AM
ADS

Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan hari ini mendedahkan kegagalan kerajaan untuk mengawal 23 'tauke-tauke' yang memonopoli pasaran minyak masak di Malaysia menjadi punca kepada kenaikan harga barangan keperluan berkenaan.

"Sebenarnya, isu asasnya ialah kawalan kerajaan terhadap 23 syarikat atau pengilang yang memonopoli pasaran minyak masak di Malaysia dan bukannya subsidi itu sendiri.

"Kerajaan sepatutnya bertegas kepada syarikat atau pengilang ini dan bukannya menarik semula bantuan yang telah diberikan kepada rakyat sebelum ini," ujar beliau yang juga ketua penerangan PAS.

Tambahnya, syarikat, pengilang, pengedar serta peruncit yang tidak bertanggungjawab tetap mengambil kesempatan daripada keadaan ini dengan menyorokkan bekalan pek plastik 1 kilogram.

Sebaliknya, mereka melambakkan minyak masak botol dalam pasaran, katanya.

Kerajaan membatalkan subsidi minyak masak berkuat kuasa 1 November yang lalu.

Kerajaan tidak lagi memberi subsidi pada semua jenis minyak masak, kecuali paket 1kg yang dijual pada harga RM2.50.

Pembatalan subsidi minyak masak telah menyebabkan sesetengah pengeluarnya menaikkan harga produk mereka sehingga 60 peratus.

Harga minyak masa Red Eagle untuk botol 5kg naik dari RM14.70 kepada RM23.70 – peningkatan RM9 atau 61.2 peratus, lapor Sin Chew Daily.

Harga botol 1kg jenama sama baik sebanyak RM2.05 (57 peratus) sementara botol 2kg pula naik RM3.35 (46 peratus).

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, adalah tidak patut jika kelemahan dan kecuaian kerajaan menangani masalah ini menyebabkan beban itu dilepaskan kepada rakyat ketika terus menanggung peningkatan kos sara hidup kesan daripada kenaikan harga makanan dan barangan keperluan lain.

"Kerajaan wajar dipertanggung jawabkan kerana menyebabkan para pengguna terbeban dengan kenaikan harga dan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi (pek plastik 1 kilogram) dalam pasaran pasca pelaksanaan rasionalisasi subsidi minyak masak bermula awal bulan ini.

"Media-media utama dan orang awam sehingga hari ini masih melaporkan keadaan kekurangan bekalan minyak masak dalam pasaran di beberapa negeri dan harga runcit yang dikenakan kepada pelanggan melambung tinggi daripada harga sebelum ini." tambahnya.

Ternyata amaran kerajaan kepada peniaga supaya patuh kepada sebarang ketetapan dan jaminan kepada pengguna bekalan minyak masak dalam pasaran adalah mencukupi dilihat tidak sedikit pun mengubah kesusahan yang sedang dihadapi rakyat ketika ini, jelas beliau.

Lihat Komen