malaysiakini logo
story-image
ADS

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyiasat dakwaan bahawa BERSIH, badan penyelidik bebas Merdeka Center dan portal Malaysiakini menerima pembiayaan dari Open Society Foundation (OSF).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata suruhanjaya itu menerima beberapa aduan berhubung perkara itu.

"Kita akan siasat dulu. Kamu tak boleh ambil tindakan tanpa siasatan, kita kena ikut prosedur.

"Undang-undang di Malaysia sangat jelas. Mana-mana yang langgar undang-undang harusnya tindakan akan diambil," kata beliau.

Salleh bagaimanapun enggan menjelaskan aduan itu secara terpeinci.

Selepas siasatan dilakukan, beliau berkata SKMM akan menyerahkan hasil siasatan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan sebelum ini mengulangi bahawa portal berita itu telah memberikan penjelasan terperinci mengenai dananya dan sangat bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya terdapat siasatan.

Beliau juga menafikan Malaysiakini  mahu menjatuhkan kerajaan, sebaliknya menuntut mereka yang berkuasa bertanggungjawab terhadap rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Penganjur DAP Pulau Pinang Wong Hon Wai mengkritik gesaan agar SKMM menyiasat Malaysiakini.

"Tindakan tersebut mengancam kebebasan akhbar di negara ini," kata ADUN Air Itam, yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Malaysia jatuh ke 146 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia kerana semua jenis undang-undang dan tindakan yang melanggar kebebasan media," katanya.

Lihat Komen