malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Baham budak tingkat empat untuk dapatkan Lion King'
Diterbitkan:  Nov 2, 2016 6:15 PM
Dikemaskini: 10:51 AM
ADS

Antara 2004 dan 2009, Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sentiasa dikritik kerana kebergantungannya kepada “budak tingkat empat” - sekumpulan individu muda yang pernah menduduki tingkat empat bangunan Perdana Putra.

Mereka ini dituduh oleh pengkritik sebagai penjaga pintu gerbang kepada perdana menteri, disebut dalam buku biografi Abdullah sebagai "sangat muda, lulusan universiti British dan Amerika yang berprestij dan meninggalkan pekerjaan lumayan untuk menyertai pejabatnya".

Seorang daripada "budak tingkat empat" dan setiausaha politik Abdullah, Vincent Lim berkata serangan itu hanya strategi untuk mengenakan PM.

"Untuk ke Lion King, kamu mesti melalui pengawal. Itu yang dilakukan oleh seteru Pak Lah.

"Secara tidak langsung, kami (budak tingkat empat) terkena peluru untuk Pak Lah. Kami memang menjangkakannya, " katanya kepada penulis 'Being Abdullah Ahmad Badawi’ yang juga adalah Ketua Pengarang Berita The Star, Datuk Wong Sulong.

Seorang lagi anggota ‘budak tingkat empat’, Ahmad Zaki Zahid berkata, tuduhan campur tangan itu tidak berasas.

Zaki berkata, sebenarnya, ‘budak tingkat empat’ kecewa dengan beberapa keputusan Abdullah.

Beliau berkata, mereka sebenarnya tidak lebih daripada "utusan".

"Apabila Pak Lah membentuk kabinetnya selepas kemenangan besar pada pilihan raya umum tahun 2004, kami tidak terlibat sama sekali.

"Beliau mungkin merujuk dengan beberapa kawannya atau penasihat politik tetapi kami tidak mempunyai sebarang kaitan dalam pilihan menteri.

"Terus terang kami kecewa dengan komposisi kabinet baru yang terdiri daripada banyak muka lama dan letih daripada pentadbiran Mahathir."

Zaki kini adalah pengarah Knusford Bhd, dan berusia 33 tahun semasa beliau meneraju unit dasar PMO.

Beliau berkata, ‘budak tingkat empat’ bersama semua mesyuarat yang dihadiri Abdullah kecuali mesyuarat kabinet, dan merumuskan cadangan untuk beliau berdasarkan perbincangan itu.

"Jika ada idea-idea yang kontroversi kita akan bincang dengannya dahulu. Kami tidak akan memasukkannya sebagai nota dan kemudian tiba-tiba (ia) menjadi dasar kerajaan.

"Bagaimanapun, beliau bukan seperti itu. Beliau membuat keputusan sendiri.

"Orang mengandaikannya sebagai lemah lembut, baik hati dan tidak dapat dipengaruh dengan mudah, tetapi beliau mempunyai idea sendiri," katanya.

Lim dan Zaki pada tahun 2008 dituduh mempengaruhi Abdullah untuk menangguhkan projek jambatan bengkok ke Singapura era Mahathir.

Lim meletak jawatan sebagai setiausaha politik Abdullah pada November 2008.

Menurut buku Wong, ‘budak tingkat empat’ itu adalah:

  • Tajudeen Wahab (Setiausaha Sulit Abdullah);
  • Azman Yahya (Danaharta, kini CEO Symphony House Bhd);
  • Abdul Azim Zabidi (Pengerusi Bank Simpanan Nasional, dan kemudiannya bendahari Umno);
  • Kalimullah Hassan (bekas ketua pengarang New Straits Times);
  • Kamaluddin Abdullah (anak Abdullah);
  • Jawhar Hassan (Pengerusi, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa);
  • Annuar Zaini (kemudian menjadi pengerusi Bernama);
  • Kamal Khalid (kakitangan pejabat Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya dilantik Ketua Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri, kini CEO Media Prima);
  • Haizan Mohd Khir Johari (kakitangan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, anak Menteri Pelajaran Allahyarham Mohd Khir Johari);
  • Khairy Jamaluddin (menantu Abdullah)
  • Neilleita Omar (Kakitangan pejabat Timbalan Perdana Menteri);
  • Syarissa Abu Bakar (Kakitangan pejabat Timbalan Perdana Menteri);
  • Kamarulzaman Zainal (setiausaha akhbar Abdullah);
  • Ahmad Zaki Zahid (kakitangan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, kemudian Ketua Unit Dasar);
  • Dr Vincent Lim (setiausaha politik Abdullah).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen