malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bajet 2017 ikat perut rakyat tetapi kerajaan tetap boros
ADS

ULASAN l Bajet 2017 adalah bajet defisit sepanjang 20 tahun berturut-turut sejak 1998, ia adalah satu rekod baru yang membimbangkan.

Jumlah defisit tahun 2017 adalah sebanyak RM40.3 bilion jika dibandingkan dengan defisit tahun ini sebanyak RM38.9 bilion, satu peningkatan yang membimbangkan.

Sekiranya ditambah dengan bajet tambahan yang kini berlaku setiap tahun dibawah pentadbiran Najib, jumlah defisit tahun depan dijangka akan melebihi paras RM50 bilion.

Dari jumlah RM260.8 bilion yang diperuntukan, bajet 2017 menyaksikan belanjawan mengurus adalah setinggi RM214.8 bilion atau 81.7 peratus sebaliknya belanjawan membangun hanya 18.3 peratus atau RM46 bilion sahaja.

Jumlah ini merupakan satu pengurangan sebanyak RM6 bilion. Pengurangan adalah satu perkembangan buruk kerana ia mencerminkan pengurusan fiskal kewangan yang telah sesat hala tuju memandangkan negara kita adalah negara yang sedang membangun dan status negara maju masih tidak kesampaian.

Hutang negara akan mencecah paras baru sehingga RM870 bilion termasuk contingent liabiliti.

Jumlah ini dapat dilihat dari kos membayar hutang negara yang semakin meningkat, ia naik dari RM26.4 bilion tahun ini hingga RM28.8 bilion pada tahun 2017.

Dengan kata lain, negara kita terpaksa membayar RM2.4 bilion kos & faedah setiap bulan dan setiap rakyat terpaksa menanggung hutang lebih dari RM26,000.00 setiap orang.

Lebih mengkhuatirkan adalah Malaysia kini telah mengalami kenaikan hutang setiap tahun yang tidak pernah surut tetapi kerajaan tiada rancangan atau tidak mampu mengurangkan hutang yang semakin menggunung.

Jumlah hutang ini masih tidak dikira masuk RM50.4 bilion yang ditanggung oleh 29 buah syarikat GLC dan hutang 1 MDB sebanyak RM30 bilion.

Dengan kata lain, rakyat kini berhadapan dengan risiko yang tinggi kerana beban hutang yang semakin berat.

Rakyat terpaksa ikat perut kerana subsidi barang keperluan asas seperti minyak, diesel, gula, gandum, beras mahupun minyak masak kini telah atau akan dihapuskan.

Penghapusan subsidi-subsidi menunjukkan kekangan kewangan kerajaan dan ini bakal menyaksikan kenaikan harga.

Bajet 2017 juga memotong peruntukan 19 kementerian dari jumlah 25 kementerian. Yang kena
potong termasuk SPRM yang menyaksikan pemotongan RM78 juta dalam tahun ini dan tahun depan.

Peruntukan SPRM jatuh dari RM295 juta ke RM216 juta. Pemotongan satu pertiga bajet untuk SPRM membuktikan janji BN utk banteras rasuah adakah janji kosong.

Selain SPRM, jabatan ketua audit negara juga menyaksikan satu pemotongan bajet yang drastik.

Jumlah peruntukan untuk Jabatan Audit negara akan jatuh dari RM163 juta hingga RM135 juta,
pemotongan RM27.92 juta ini akan menjejaskan usaha jabatan audit negara untuk mencegah ketirisan, pembaziran mahupun penyelewengan, akhirnya yang rugi adalah rakyat jelata.

Walaupun ekonomi kian lembap, kerajaan masih cadang untuk kutip RM40 bilion cukai GST pada tahun depan, ini bererti setiap warga negara akan menanggung RM1,333 setiap orang, jika satu keluarga mempunyai 5 orang, jumlah GST yang dibayar adalah dianggarkan sebanyak RM6,500.00, satu jumlah yang jauh lebih tinggi dari BR1M.

Selain subsidi, Bajet ini menyaksikan banyak nikmat kepada rakyat sebanyak RM259 juta akan
dihapuskan.

Ini termasuk biasiswa Bursary sebanyak RM30 juta, program susu percuma 1 Malaysia, dana penyelenggaraan bangunan kerajaan, biasiswa sukan, dana biayaian aktiviti ko-kurikulum dan lain-lain.

Satu jumlah sebanyak RM593 juta utk membiayai pampasan kepada lebuhraya swasta juga
dimansuhkan maka adalah dijangka kadar tol akan naik pada tahun depan, rakyat terpaksa ikat perut tetapi pemimpin kerajaan tetap boros.

Selain itu, semua IPTA kecuali UiTM dan UIA akan mengalami pemotongan bajet yang ketara. Jumlah peruntukan akan berkurangan sebanyak RM1.4 bilion dari RM7.6 bilion jatuh kepada RM6.2 bilion.

Pemotongan bajet ini adalah bercanggah dengan wawasan negara untuk menjadi pusat pengajian tinggi rantau Asean dan ini menunjukkan kerajaan BN telah hilang hala tuju.

Sebagai kesimpulan, bajet 2017 gagal mencegah rasuah, ketirisan, penyelewengan & pembaziran yang menjadi faktor utama kemerosotan negara dari status demokrasi kepada Kleptokrasi.

Bajet kali ini juga tidak kelihatan usaha kerajaan memacu pembangunan sains, teknologi dan memupuk budaya innovasi.

Malahan wawasan 2020 telah dicampak dan digantikan dengan TN50 yang semata-mata merupakan helah politik BN utk mengkaburkan mata rakyat.


NGA KOR MING adalah ahli parlimen Taiping, dan tulisan ini dibacakan ketika forum ekonomi mengupas bajet 2017 yang diadakan di Ipoh.

Lihat Komen