malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Beri bukti, jangan alih Bajet 2017 tak bantu rakyat’
ADS

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan membekalkan bukti berhubung dakwaan kerajaan negeri pimpinanya menyenaraihitamkan banyak syarikat yang dikaitkan dengan parti politik tertentu.

Menurut Lim, tindakan Rahman mengeluarkan kenyataan sedemikian sebenarnya dilihat cuba mengalih isu sebenar iaitu berkaitan Belanjawan 2017 yang dibentangkan Jumaat lalu.

"Ini fitnah, saya harap beri bukti.

"Kalau ada (bukti), tunjukkan bukti. Jangan buat fitnah. Tujuan utama adalah nak alihkan perhatian daripada belanjawan yang dibentangkan perdana menteri di mana ia tidak membantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Abdul Rahman yang juga menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi dilaporkan berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor turut menyenaraihitamkan banyak syarikat berkaitan dengan parti politik tertentu.

Dakwaan itu timbul selepas ahli parlimen Kota Belud itu dituduh menyalahguna kuasa untuk mengarahkan pemeriksaan latar belakang syarikat untuk memastikan mereka tidak menaja BERSIH.

Ia berikutan kenyataan Abdul Rahman yang bersetuju untuk tidak lagi menganugerahkan kontrak kerajaan kepada mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan dengan BERSIH.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu bahawa kerajaannya mengamalkan polisi yang telus serta tidak menyenaraihitamkan mana-mana syarikat berkaitan parti politik.

"Kita tidak menyenaraihitam (syarikat) kerana mereka menyokong mana-mana parti politik.

"Dia (Abdul Rahman) perlu memberi bukti. Polisi kita sangat telus.

“Tiada salah untuk menyokong dan mempromosi masyarakat sivil. Mereka juga sebahagian daripada sistem untuk mempromosi demokrasi," kata Azmin.

 

Lihat Komen