Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) mengalu-alukan keputusan kerajaan menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi lulusan ijazah kelas pertama.
"Seharusnya (langkah itu) menjadi suatu pendorong baru bagi peminjam khususnya mahasiswa Melayu dalam berusaha untuk mencapai kelas pertama," kata Presidennya Kamarulzaman Abdullah kepada malaysiakini .
Bagaimanapun persatuan pelajar itu menggesa kerajaan mengeluarkan surat perjanjian baru sesuai dengan langkah yang diumumkan semalam.
"Gamis mendesak supaya surat perjanjian baru dikeluarkan kepada semua peminjam tabung PTPTN ini bagi memastikan tiada janji kosong dalam pertukaran pinjaman kepada biasiswa," katanya lagi.
Ketika menggulung perbahasan usul pendidikan di perhimpunan agung Umno semalam, Tan Sri Musa Mohamad berkata mulai tahun ini, pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama atau setaraf dengannya tidak perlu membayar balik pinjaman PTPTN.
Menteri Pendidikan itu juga berkata, selepas perhimpunan itu, keputusan itu telah dicapai sebulan lalu tetapi hanya diumumkan.
Musa juga mempertahankan kadar empat peratus yang dikenakan bagi bayaran balik pinjaman. "Kos pengurusan sebanyak empat peratus sebenarnya tidak tinggi berbanding kadar faedah yang dikenakan oleh institusi kewangan yang lain," katanya.
Bagaimanapun Gamis masih menganggap kadar empat peratus itu "agak tinggi (dan) sekaligus menganiaya para graduan."
Persatuan pelajar itu juga menggesa mufti-mufti dan pakar-pakar agama membuat kenyataan terbuka berkenaan kadar itu di sisi undang-undang Islam yang "masih disifatkan sebagai riba (faedah)."
Gamis juga menggesa pelajar meneruskan kempen untuk menghapuskan kadar tersebut.
