malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Speaker: Subjudis kerana bimbang pengaruhi kes di AS
ADS

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, keputusan tidak membenarkan soalan berkaitan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) atas alasan subjudis dibuat kerana bimbang ia mempengaruhi kes berkaitan di Amerika Syarikat.

Menurut Pandikar, perbahasan mengenai isu berkenaan dalam parlimen boleh digunakan walaupun perbicaraan itu dilakukan di luar negara.

"Dalam perbicaraan di Amerika kini, kalau mereka tidak panggil saksi, mereka boleh memetik apa yang disebut dalam parlimen, yang akan memberi pengaruh pada perbicaraan di Amerika.

"Atas sebab itu saya tidak benar bahas kerana setiap hujah di sini boleh jadi alasan perbicaraan di Amerika walaupun ia di luar negara.

"Apa menteri kata di sini boleh dipetik dalam perbicaraan di Amerika. Pada pandangan saya ia akan melencongkan perbicaraan," kata Pandikar.

Beliau berkata demikian pada sidang media di parlimen hari ini.

DOJ sebelum ini membuat saman sivil untuk menyita aset berkaitan 1MDB yang dikaitkan dengan kegiatan pengubahan wang haram.

Selasa lalu, Pandikar menegaskan bahawa menteri tidak perlu menjawab soalan yang dikemukakan mengenai saman DOJ yang difailkan di mahkamah California Julai lalu.

Saman itu adalah berhubung dengan apa yang digambarkan oleh DOJ sebagai tindakan terbesar yang pernah dibuat mengikut Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi, yang membabitkan kira-kira AS$1 bilion aset berkaitan 1MDB yang didakwa diselewengkan.

Bagaimanapun, keputusan Pandikar itu dipertikaikan apabila bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus mempersoalkan alasan subjudis berkenaan.

Sehubungan itu, Pandikar memberitahu keputusannya untuk tidak membenarkan perkara tersebut dibahaskan adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 23 (1)(g), 36 (2), 21 (1)(g), 36 (2), 21 (1)(a) dan 23 (1)(g).

Menurutnya, peruntukan mesyuarat itu merujuk bahawa sesuatu pertanyaan tidak boleh direka jika ia melencongkan tujuan sebenar yang mempengaruhi hal perbicaraan subjudis di mahkamah serta tidak boleh ditanya apakah perkara dalam timbangan mahkamah.

"Kalau saya benarkan untuk dibahas bermakna menteri akan menjawab. Setiap jawapan menteri itu atau hujah anggota parlimen akan mendapat liputan besar.

"Malaysiakini akan buat, akhbar akan buat.

"Kalau kita di sini boleh baca apa berlaku di Amerika, tidakkah Amerika boleh baca apa berlaku di sini?" kata Pandikar lagi.

Lihat Komen