malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Utusan, TV3 telah rosakkan etika kewartawanan
Diterbitkan:  Oct 19, 2016 12:41 PM
Dikemaskini: 5:10 AM
ADS

PAS hari ini menyelar Utusan Malaysia dan TV3 susulan laporan menggambarkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Saya lihat Utusan Malaysia dan TV3 telah merosakkan etika kewartawanan dan profesionalisme mereka apabila menyiarkan kenyataan ahli parlimen Marang yang juga presiden PAS secara tidak tepat dan separuh masak.

“Ia menampakkan seolah olah YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi menyokong GST walhal beliau menolak GST dan meminta supaya difikirkan alternatif baru menggantikan GST dalam bahasa yang lunak dan beradab sesuai dengan akhlak beliau sebagai seorang pemimpin,” kata ketua penerangannya Nasrudin Hassan.

Utusan hari ini melaporkan Hadi sebagai mengakui GST menjadi penggerak utama ekonomi negara, selain menggesa kerajaan memastikan tiada peniaga yang cuba lari dari cukai itu.

“GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Adakah kerajaan mempunyai kaedah lain untuk mengesan peniaga yang cuba lari dariapda membayar cukai ini atau mungkin kerajaan ada alternatif lain bagi menggantikan GST,” Hadi dipetik sebagai berkata oleh akhbar Umno itu.

Dalam kenyataan hari ini, Nasrudin memuatkan soalan asal dan transkrip penuh soalan tambahan Hadi di parlimen semalam berkaitan isu itu.

Soalan bertulis antaranya menyebut Hadi (PAS-Marang) mahu tahu sejauh mana hasrat kerajaan membatalkan GST dan mengambil mekanisme lain yang lebih adil dan tidak membebankan rakyat.

Berdasarkan transkrip Hadi seperti dibekalkan Nasrudin.

“Tan Sri yang Dipertua, soalan tambahan saya, GST merupakan percukaian murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan.

“Namun pun di sana ada impak Yang Amat Berhormat sebut, dan kesan negatifnya ialah inflasi yang menjadi bebanan kepada rakyat awam, khususnya dalam barang-barang yang disebutkan tadi, masih ada sungutan-sungutan nilai mata wang, ini juga membebankan pelajar kita di luar negara yang ke luar negara, sungutan itu banyak, sejauh mana langkah-langkah kerajaan dan penilaian terhadap keberkesanan daripada langkah-langkah itu dan adakah kerajaan berfikir untuk mengadakan alternatif yang lain sekiranya ada?”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen