malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Sebab rujuk pada anjing, Jakim mahu 'dog' jadi 'sausage'
ADS

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan Auntie Anne's menukar nama makanan mereka daripada 'pretzel dog’ kepada ‘pretzel sausage’ untuk memudahkan memperoleh sijil halal.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Dr Sirajuddin Suhaimee berkata panel penilaian jabatan itu sebelum ini tidak dapat mempertimbangkan permohonan Auntie Anne's kerana perkataan dog merujuk kepada anjing dalam bahasa Inggeris.

“(Tukar kepada) pretzel sausage.

“Ya, (kerana) panel tak dapat pertimbangkan perkataan 'dog' kerana merujuk pada haiwan anjing,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kenapa nama 'pretzel dog' menjadi antara sebab permohonan sijil halal rangkaian makanan roti pretzel itu ditolak.

Sementara itu, ditanya dakwaan bahawa standard persijilan halal Jakim terlalu tinggi, beliau berkata ia mungkin kerana mereka kurang persediaan.

“Standard Persijilan Halal Malaysia adalah satu-satunya standard halal yang diterima di mata dunia.

“Pihak yang mendakwa ia terlalu tinggi kerana kurang kesediaan industri dan juga sikap ambil mudah terhadap pengesahan halal,” katanya.

Semalam Penyelia Kualiti dan Eksekutif Halal syarikat Auntie Anne's Farhatul Kamilah Mohamed Sazali menjelaskan Jakim mahu pretzel dog ditukar kepada nama yang lebih sesuai.

Katanya, beliau telah mengemukakan beberapa nama baru dan masih menunggu keputusan mesyuarat panel Jakim, sebelum menukar papan menu dan membuat permohonan baru.

Farhatul Kamilah juga berkata Jakim mahu permohonan sijil halal bagi dapur berpusat dipohon dahulu sebelum outlet dan permohonan bagi outlet pula hendaklah dibuat secara zon untuk memudahkan audit.

Tak kata tak halal

Sementara itu Jakim melalui kenyataan medianya hari ini mengesahkan bahawa belum ada outlet Auntie Anne's yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Pihak syarikat pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebelum ini namun ianya tidak dapat diproses atas beberapa isu teknikal seperti dokumen sokongan bahan ramuan.

“Namun selepas beberapa penambahbaikan dilakukan, kini status produk makanan Auntie Anne's adalah dalam proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan telah memasuki fasa proses audit halal bagi central kitchen (Dapur Berpusat),” menurut kenyataan itu.

Walaupun begitu, Jakim turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengatakan bahawa produk tersebut tidak halal.

Jelasnya, proses pengeluaran SPHM mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar syariah dan teknologi makanan.

“Jakim amat menyanjung tinggi usaha dan komitmen pihak industri dalam menyediakan makanan sihat, produk yang bersih serta persekitaran yang kondusif kepada pengguna.

“Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan agar sentiasa konsisten dengan pemilihan makanan yang halal lagi baik demi mengekalkan ekosistem halal yang mapan,” menurut Jakim lagi.


'Anak dara Makcik Anne' jawab isu halal Jakim

Lihat Komen