malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kenaikan kos hidup jadi kebimbangan utama rakyat M'sia'
Diterbitkan:  Oct 18, 2016 1:21 PM
Dikemaskini: 5:26 AM
ADS

Rakyat Malaysia bimbang dengan kenaikan kos hidup dan mahukan pengurangan cukai pendapatan serta lebih banyak usaha membendung jenayah dan menyediakan skim perumahan mampu milik, demikian menurut satu hasil kaji selidik yang dijalankan oleh iProperty.com Malaysia.

iProperty.com Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada REA Group, adalah portal hartanah utama negara yang menawarkan senarai hartanah menyeluruh, perkhidmatan hartanah berkaitan dan perkhidmatan pemasaran projek.

Ketika negara menunggu pembentangan Bajet 2017 pada 21 Okt ini, iProperty.com Malaysia telah menjalankan kaji selidik dalam talian yang disertai kira-kira 300 responden, mengetengahkan isu-isu besar yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia, kata Ketua Pegawai Operasi-Antarabangsa REA Group Arthur Charlaftis dalam satu kenyataan.

"Kami melihat kenaikan ketara kos hidup di Malaysia, termasuk kenaikan harga bahan api, tol dan pengangkutan awam, serta pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan tahun lepas, yang memberi kesan besar kepada keluarga Malaysia," kata Charlaftis.

Keputusan kaji selidik itu juga menunjukkan rakyat Malaysia berharap dapat melihat Bajet 2017 menyediakan lebih banyak skim perumahan mampu milik.

"Malaysia mempunyai penduduk dan tenaga kerja yang agak muda, dan terdapat permintaan tinggi bagi hartanah kediaman mampu milik di pusat-pusat bandar utama.

"Dengan kos pengangkutan juga meningkat, segmen pencari hartanah muda dan semakin berkembang ini mencari hartanah di bandar-bandar, dan biasanya hampir dengan tempat kerja mereka," katanya.

Menurut Laporan Keadaan Isi Rumah II yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), pendapatan isi rumah bulanan pertengahan pada 2104 ialah RM4,585 manakala purata pendapatan bulanan ialah RM6,141.

Ini bermakna purata isi rumah dijangka membelanjakan antara RM200,000 dan RM300,000 bagi sebuah hartanah.

Sementara itu, Ketua Ekonomi REA Group Nerida Conisbee berkata terdapat permintaan tinggi terhadap hartanah dalam jajaran harga tersebut, dan terdapat peluang sebenar bagi kerajaan untuk memberikan insentif kepada pemaju bagi membina lebih banyak hartanah jenis ini.

"Hartanah kediaman berharga RM500,000 dan ke atas hanya mampu dibeli oleh isi rumah dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan yang bersamaan dengan enam peratus daripada penduduk Malaysia.

"Kerajaan perlu juga melihat negara-negara Asia lain yang mana kemampuan menjadi satu isu, seperti Singapura atau Hong Kong yang mana mereka campur tangan untuk menyediakan perumahan yang lebih mampu milik," kata Conisbee.

- Bernama

Lihat Komen