malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Lim maafkan Nasrudin walau lewat bayar RM10k'
Diterbitkan:  Oct 14, 2016 12:21 PM
Dikemaskini: 12:54 PM
ADS

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memaafkan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan walaupun lewat membayar RM10,000 seperti yang diperintahkan oleh mahkamah kerana artikel fitnah terhadapnya.

Pegawai khas undang-undang kepada Lim, Raja Syarafina Raja Shuib berkata peguam Nasrudin akan mengeluarkan cek bernilai RM10,000 sebagai penyelesaian kos seperti diperintah menerusi Penghakiman Persetujuan.

Katanya, setakat 12 Oktober 2016, Nasrudin telah menzahirkan kekesalan beliau dan menarik balik artikel tersebut tetapi belum membayar kos sebanyak RM10,000.

"Peguam beliau telah menyatakan bahawa kelewatan seminggu oleh YB Nasrudin harus dimaafkan.

"Walaupun terdapat kelewatan penerimaan jumlah kos tersebut, ketua menteri sanggup memaafkan beliau memandangkan YB Nasrudin bersedia membuat bayaran dan mematuhi Perintah Penghakiman tersebut sepenuhnya," kata Raja Syarafina.

Justeru katanya, ketua menteri berharap episod itu akan berakhir.

"Cukup untuk saya menegaskan di sini bahawa saya tidak akan dan tidak berminat melayan keluhan beremosi yang berputar keliling isu-isu utama menerusi retorik kosong dan serangan bersifat peribadi yang tidak wajar," katanya.

Semalam, peguam Nasrudin, Wan Rohimi Wan Daud mempertahankan tempoh seminggu diperlukan anak guamnya untuk membayar RM10,000.

Beliau juga mengkritik Syarafina kerana "menyerang" Nasrudin mengenai isu itu dan mengatakannya cuba menyemai persepsi negatif terhadap Nasrudin.

Artikel fitnah Nasrudin bertarikh 8 Ogos 2014 disiarkan di Facebook di mana beliau mempersoalkan "Perbezaan di antara Kidex dan terowong dasar laut Pulau Pinang"

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengarahkan Nasrudin membayar kos dan membuktikan dia menyesal membuat dakwaan tidak berasas terhadap ketua menteri dan menarik balik artikel tersebut.

 

Lihat Komen